Kelantan tuan rumah final Piala Emas Raja-Raja

in Sukan by


STADIUM Sultan Muhammad IV, Kota Bharu diputuskan sebagai gelanggang perlawanan akhir bola sepak Piala Emas Raja-Raja Ke-77, 2017 antara tuan rumah, Kelantan dan Pulau Pinang pada 11 November ini.


Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) malam tadi di sebuah hotel di Ampang, Selangor yang dipengerusikan Timbalan Presiden persatuan, Mohd Firdaus Mohamed.


Sepak mula perlawanan itu ialah 8.45 malam sementara tiket-tiket ditetapkan berharga RM5 dan RM10.


“Jawatankuasa memutuskan Stadium Sultan Muhammad IV kerana mendapatinya mampu menarik lebih ramai penonton walaupun Pulau Pinang turut menawarkan diri sebagai tuan rumah di Stadium Negeri, Batu Kawan.


“Kami selain itu akan sentiasa bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan dalam memastikan soal keselamatan terkawal dan segala perjalanan penganjurannya berjalan lancar,” katanya.


Jelas Firdaus, jawatankuasa menekankan kepentingan pada kemeriahan sambutan para peminat sejajar dengan matlamat penganjuran Piala Emas Raja-raja yang dijenamakan semula iaitu merakyatkan bola sepak.


Stadium Sultan Muhammad IV yang dibina pada 1967, mampu memuatkan sehingga 30,000 penonton sementara Stadium Negeri yang berusia 17 tahun, bermuatan 40,000 orang.


Terdahulu mesyuarat itu turut memberikan peluang dan hak kepada wakil kedua-dua pasukan ini untuk membentangkan hujah mengapa stadium masing-masing wajar dipilih sebagai tuan rumah kejohanan kebangsaan yang hampir sebaya Piala Malaya (kini Malaysia) itu.


Kali terakhir Kelantan dan Pulau Pinang bertemu dalam perlawanan akhir Piala Emas Raja-raja ialah pada 2008 juga di Stadium Sultan Muhammad IV yang dimenangi tuan rumah 4-0.


Namun Kelantan (juara terbanyak 13 kali) turut kembali menjuarai kejohanan ini yang terakhir baginya pada 2010 manakala Pulau Pinang melakukannya dengan menewaskan Kedah 2-1, lapan tahun sebelumnya.


Kedua-duanya turut bertembung dalam saingan Kumpulan D di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 20 September lalu yang turut menyebelahi Kelantan 2-0.


Kelantan mara ke perlawanan akhir setelah menewaskan Kuala Lumpur secara agregat 2-0 dalam separuh akhir (2-0 di Serdang dan 0-0 di Kota Bharu) sementara Pulau Pinang mengatasi Selangor 1-0 (0-0 di Sabak Bernam dan 1-0 di USM).


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]