Kenakan syarat lebih ketat

in Edisi Pahang by


MENTAKAB – Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa supaya memberikan syarat yang lebih ketat kepada pemaju perumahan yang ingin membina rumah di atas tapak kawasan tidak stabil seperti paya atau lombong bagi mengelakkan pembeli menjadi mangsa.


Adun Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, selain syarat yang lebih ketat, insurans bencana alam seharusnya diwajibkan kepada pembeli rumah di atas tapak berisiko itu.


Menurutnya, ia sekali gus dapat memberikan pampasan kepada pembeli sekiranya berlaku kejadian bencana alam seperti tanah runtuh, banjir dan sebagainya.


“Jika dilihat ketika ini banyak kawasan berisiko seperti bekas paya, lombong atau kawasan berair yang tidak sesuai dibina rumah dijadikan pilihan pemaju untuk membangunkan projek perumahan dengan menambak kawasan berisiko itu.


“Sekiranya berlaku kejadian seperti ini sudah tentu akan merugikan pembeli kerana jika tidak ada insurans pembeli akan menanggung kerugian sepanjang hayat,” katanya selepas mengadakan tinjauan di sebuah rumah dekat Taman Bendera Intan yang mengalami kerosakan pada dinding akibat tanah runtuh.


Dalam kejadian yang berlaku selepas hujan lebat selama dua jam pada malam Sabtu lalu, lima sekeluarga terpaksa diarahkan berpindah berikutan struktur rumah itu tidak selamat akibat tanah runtuh yang berlaku.


Selain daripada kesan retak pada dinding, Ketua Balai Bomba Mentakab, Mohd Kamaruddin Mohd Saufi berkata, berdasarkan penilaian awal pihaknya, kejadian itu telah menyebabkan wujud satu lubang di bawah rumah akibat pergerakan tanah sekali gus berisiko untuk didiami.


Menurutnya, rumah berkenaan yang terletak di tepi tebing bukit tidak selamat dan dikhuatiri boleh terjejas teruk jika hujan lebat terus berlaku.


“Rumah berkenaan mengalami mendapan di kaki lima, halaman rumah dan pagar manakala terdapat lubang di bawah rumah.


“Jadi kita nasihatkan supaya penghuni rumah berkenaan berpindah sementara kerana dibimbangi jika hujan lebat boleh menyebabkan pergerakan tanah di bawah rumah berkenaan,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Zulpuri berharap pihak Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) atau Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat berbincang dengan pemaju serta penduduk untuk menyelesaikan masalah yang berlaku itu dengan segera bagi kebaikan semua pihak.


“Insurans bencana alam ini harus diperkenalkan kepada penduduk dan pengguna yang berisiko tinggi, lebih-lebih lagi kawasan paya yang telah di tambak,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]