Maut rempuh belakang treler

in Semasa by


BAGAN SERAI – Perjalanan seorang lelaki ke tempat kerja berakhir tragedi apabila dia maut selepas merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 181, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, berhampiran Plaza Tol Alor Pongsu, di sini pagi tadi.


Dalam kejadian jam 6.54 pagi, mangsa, Muhamad Hazrul Hafiz Khamis,22, berasal dari Kampung Kedah, disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas paramedik setelah mengalami kejadian parah di bahagian kepala.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Abdul Nasir Jalil berkata, selepas menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggotanya diketuai Penolong Bomba Kanan (PBK) II Rodzi Che Pa, bergegas ke lokasi kejadian dan turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Parit Buntar.


“Setibanya di lokasi, terdapat kejadian kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa merempuh bahagian belakang sebuah treler muatan generator berhampiran Plaza Tol Alor Pongsu.


“Mangsa difahamkan maut dan melekat pada bahagian belakang treler, namun dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian terlebih dahulu.


“Bomba bertindak mengeluarkan motosikal mangsa yang melekat pada treler berkenaan menggunakan peralatan khas dan operasi ditamatkan pada jam 7.21 pagi,”katanya kepada media di sini hari ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob mengesahkan kejadian dan menegaskan siasatan masih dijalankan.


Menurutnya, mangsa difahamkan sedang dalam perjalanan ke lokasi tempat kerja di Butterworth, Pulau Pinang.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]