Panthers hampiri kejuaraan

in Sukan by


PENANG Black Panthers memerlukan hanya dua kemenangan sahaja lagi daripada baki empat perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan Sepak Takraw League (STL) Premier 2017.


Dengan 18 mata hasil sembilan kemenangan daripada 10 perlawanan, pasukan bimbingan Helmi Ismail, ibarat berada dalam kelas tersendiri dan semakin jauh meninggalkan pencabar lain.


Malah, pencabar terdekat Terengganu Turtles yang mengumpul 12 mata juga sudah mengangkat ‘bendera putih’ dalam misi mengejar biarpun berjaya meraih kemenangan moral dengan menewaskan Johor Tigris dalam aksi terakhir sebelum saingan berhenti rehat selama dua minggu pada Ahad lalu.


Pasukan dari pantai timur itu kini, mengalihkan tumpuan untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua namun perlu diakui ianya bukan mudah tatkala mereka sedang diekori rapat oleh Kelantan Warriors, ATM Guardians dan Perak Bison yang mengumpul 10 mata.


Hidup peluang


Dengan tiket beraksi di STL Champions Cup menjadi pertaruhan  tiga pasukan terbaik STL Premier, cabaran dua pasukan dari Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur Thunder dan Selangor Pistons juga tidak boleh dipandang enteng.


Kesemua enam pasukan itu menamatkan saingan minggu kelima dengan mencatat satu kemenangan untuk menghidupkan peluang masing-masing. Justeru tiada pasukan yang boleh disifatkan mempunyai kelebihan atau dilabel pilihan.


Kekuatan kesemua pasukan kelihatan seimbang dan bersaing sengit sesama mereka sekali gus menjadikan ia pertarungan menarik enam penjuru.  


Tigris dalam bahaya


  Sementara itu, ketika Penang Black Panthers menghampiri kejuaraan dan enam pasukan buru kedudukan tiga teratas, Johor Tigris dalam zon bahaya dan berjuang untuk elak tersingkir ke saingan Divisyen Satu musim hadapan.


Pasukan itu gagal memperbaiki kedudukan mereka di tangga tercorot setelah tewas buat kali kelapan dan perlu tampil dengan aksi luar biasa untuk memenangi kesemua perlawanan berbaki jika  berhasrat mengubah nasib mereka.


Pasukan mana akan berada di kelompok tiga teratas seterusnya menyambar slot beraksi di STL Champions Cup? Siapa pula yang akan mengucapkan selamat tinggal kepada STL Premier? Apakah akan ada kesudahan penuh dramatik bagi saingan musim ini?


Semuanya cukup sukar untuk diramal dan jangkaan saingan lebih rancak apabila ia kembali bersambung selepas rehat dua minggu dengan kesemua pasukan pastinya memanfaatkan kesempatan memperkemas dan menajamkan semula sentuhan.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]