Pas gesa Ambiga 'buka mulut'

in Politik by


SHAH ALAM – Pas memandang berat kandungan dokumen Pembelaan Editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown, yang menamakan Datuk S.Ambiga sebagai sumber yang memberitahu kononnya pemimpin Pas menerima wang  RM90 juta daripada Perdana Menteri.


Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, dalam hal ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan sekeras-keras semua dakwaan-dakwaan tersebut dan mengarahkan peguamnya mengambil tindakan sewajarnya di mahkamah.


Katanya, Pas turut menggesa Ambiga memberikan respon terhadap dakwaan Editor Sarawak Report tersebut bagi memberikan gambaran sebenar terhadap kenyataan dengar cakap (hear say) tersebut.


“Peguam Pas sedang mengkaji perkara ini dan kemudian akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.


Sebelum ini kes berkenaan difailkan dalam prosiding Saman Fitnah oleh Abdul Hadi Awang di Mahkamah Tinggi London.


Laporan media tempatan, melaporkan Rewcastle-Brown mendakwa, beliau telah bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 berhubung perkara berkaitan 1MDB, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pas.


Ambiga didakwa memberitahu Rewcastle-Brown tentang hubungan Najib dengan Pas, termasuk dakwaan persetujuan kewangan antara kedua-dua pihak dan motif di sebaliknya.


“Ambiga memberitahu defendan yang sumbernya, yang menurutnya boleh dipercayai, menjangkakan jumlah yang telah dibayar adalah sekitar RM90 juta,” kata Rewcastle-Brown, menurut dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober itu petik Malaysiakini.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]