Sultan Perak beri pengampunan pesalah dadah

in Semasa by


IPOH –  Dua banduan yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati bersabit kesalahan dibawah Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 menerima pengampunan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menitahkan diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup.


Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, hukuman penjara seumur hidup berkuatkuasa mulai tarikh persidangan lembaga itu pada 12 Oktober lepas.


Menurutnya, Mahkamah Taiping pada 19 Mac 2009 dan 15 Jun tahun sama telah menetapkan hukuman gantung sampai mati kepada kedua-duanya setelah rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, ditolak.


“Mereka masing-masing telah menjalani hukuman penjara lebih 16 tahun sejak 2001.


“Sultan Perak menitahkan agar hukuman mereka diringankan daripada hukuman mati kepada penjara seumur hidup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Pada 12 Oktober lalu, baginda Sultan Perak telah mempengerusikan Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri Perak yang diadakan menjelang sambutan ulang tahun keputeraan baginda.


Beliau berkata, baginda bertitah bahawa pengampunan atau meringankan sesuatu hukuman hanya dipertimbangkan apabila banduan menunjukkan sifat insaf, sedar dan menyesal kesalahan dilakukan dengan memohon maaf, berkelakuan baik ketika berada dalam tahanan serta menunjukkan azam memulakan hidup baru.


“Baginda juga menasihatkan bahawa, sesuatu hukuman yang dijatuhkan bertujuan memberi pengajaran agar undang-undang terus dihormati,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]