Sungai Johor tercemar: Ladang, kilang ayam diarah tutup

in Edisi by


ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor memutuskan ladang ayam dan kilang memproses baja najis ayam yang menjadi punca pencemaran ammonia di Sungai Sayong, Kulai, baru-baru ini, ditutup.


Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Kota Iskandar, di sini, hari ini (semalam).


Exco Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri juga memutuskan membatalkan rayuan permohonan pengusaha ladang ayam dan kilang untuk mengubah status syarat tanah di kawasan itu.


Menurutnya, selain itu, mesyuarat turut memutuskan tindakan undang-undang terhadap pengusaha kilang baja mengikut Enakmen Bekalan Air 2014 yang menjadi punca kepada pencemaran.


“Kita akan rujuk kepada pihak Pegawai Undang-Undang negeri berhubung jumlah kompaun yang boleh dikenakan atau mengenakan saman terhadap pengusaha kilang baja mengikut Enakmen Bekalan Air 2014.


“Untuk mengelak perkara sama berulang, kerajaan negeri dengan jelas dan tegas mengambil keputusan untuk meminta operasi ladang dan juga kilang ditutup dengan segera,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Kota Iskandar di sini, hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Najis ayam: Sungai Johor tercemar lagi]


Turut hadir, Exco Pertanian Dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed.


Hasni berkata, mesyuarat MMK juga membuat beberapa keputusan terhadap permohonan permohonan yang boleh memberi impak yang serupa.


“Tidaklah dalam bentuk pencemaran ammonia, tetapi juga seperti aktiviti kegiatan melombong pasir


“Lebih-lebih lagi apabila lokasi lombong-lombong tersebut berada di sebelah hulu sungai atau sebelah atas loji. (Maka) permohonan-permohonan tersebut juga dibatalkan atau lesen permit tidak lagi disambung,” katanya.


Beliau berkata, Kerajaan Johor pada mesyuarat MMK hari ini juga telah memutuskan untuk membatalkan salah satu daripada permohonan bagi menyambung permit pengeluaran pasir.


Selain itu, katanya, kerajaan negeri sudah meminta Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) untuk membuat pemantauan di semua kawasan utama seperti di Sungai Johor.


“Ini supaya aktiviti-aktiviti yang boleh menggugat kualiti air di sungai-sungai berkenaan di mana tindakan tegas akan diambil.


“Dan ini termasuklah mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak pihak yang bertanggungjawab,” katanya.


Hasni memberitahu pencemaran yang berlaku pada 27 Oktober lalu, merupakan kejadian kali ketiga.


“Pencemaran ammonia di Sungai Johor yang berpunca dari kilang baja tinja ayam di Layang-Layang, Mukim Sedenak, Kulai.


“Insiden (kejadian) pertama dan ketiga menyebabkan loji (rawatan air) di Semanggar, Sungai Johor dan Tai Hong diberhentikan operasi,” katanya.


Beliau turut memaklumkan pihak pentadbir tanah telah mengeluarkan Notis 7A dan Notis 7B yang meminta supaya pengusaha membuat pemulihan syarat tanah.


“Ini bererti bahawa kilang baja ini telah tidak mematuhi syarat tanah dan dengan pengeluaran notis itu, sepatutnya mereka bertindak atau menutup operasi dan berpindah ke tapak lain yang sesuai.


“Tapi mereka tidak mematuhi syarat yang telah dikenakan Pejabat Tanah,” katanya.


Sementara itu, Ismail berkata, hasil lawatannya ke ladang ayam berkenaan semalam, mendapati punca lambakan najis ayam adalah disebabkan mesin memproses najis yang menggunakan teknologi daripada China mengalami kerosakan hampir sebulan.


“Ladang yang sudah beroperasi selama 20 tahun dengan mempunyai satu juta ayam telur selain menghasilkan 40 tan najis ayam sehari ini juga saya lihat tidak sepatutnya diuruskan sedemikian. Mereka tidak patut diberikan peluang.


“Jabatan Veterinar juga memutuskan ladang itu diberi tempoh enam bulan daripada sekarang untuk melakukan proses pembersihan,” katanya.


Mengikut Enakmen Bekalan Air 2014, kadar kompaun yang boleh dikenakan adalah sehingga RM250,000, manakala kadar saman adalah sehingga RM500,000.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]