‘Tak boleh nak beli beras dah…’

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


KUALA PILAH – “Sampai hati mereka curi getah beku kami. Kami dah tak ada duit nak beli beras,” kata Normidah Abdul Aziz, 52, seorang penoreh getah ketika ditemui di Kampung Eyor Johol, di sini, semalam.


Normidah antara empat penoreh yang kerugian akibat kes kecurian getah beku yang berjumlah hampir 300 kilogram di empat lot kebun pokok getah yang berbeza pemiliknya, di Kampung Eyor Lama dengan keluasan lebih kurang empat hektar.


Kata Normidah, kedudukan kebun getah hanya bersebelahan, cuma berbeza pemiliknya.


“Selama enam tahun menoreh getah di kebun ni, belum pernah berlaku. Kali pertama berlaku pada 26 Oktober lalu getah beku saya hilang, dicuri.


“Habis 70 kilogram dicurinya, sedangkan hasil getah tu untuk beli keperluan dapur, beras serta minyak. Memang sedih sebab saya cari rezeki, tapi orang lain senang-senang curi dan mendapat hasilnya.


“Ketika kejadian kali pertama, saya tak buat laporan polis sebab tiada bukti siapa dalangnya dan mungkin itu kali terakhir kes ini berlaku,” katanya.


Selang empat hari, katanya, pada 30 Oktober lalu, kata Normidah, kes kecurian getah beku berulang kembali hingga mendatangkan kerugian lebih besar.


“Bukan saya seorang jadi mangsa, malah tiga rakan turut jadi mangsa hingga hilang sumber pendapatan pada hari berkenaan. Saya kehilangan 60 kilogram, manakala rakan-rakan kerugian lebih 100 kilogram.


“Kami memang tinggalkan getah beku selama sehari kerana keesokan harinya mahu menoreh lagi, agar getah beku sedia ada itu lebih tebal dan berkualiti.


“Tapi getah belum cukup kering pun, pencuri dah kebas hingga mendatangkan rasa geram dan marah,” katanya yang telah membuat laporan di Balai Polis Johol pada 30 Oktober lalu.


Sementara itu, Maziah Abd Samad, 57, berkata, harga getah merosot kepada RM2.50 sekilogram.


“Apalah yang kami peroleh dengan harga getah merosot dan perlu dibahagi dengan pemilik tanah. Kini getah beku pula kena curi.


“Biasanya, hasil getah beku akan dikutip pada sebelah pagi sebelum ia dijual.


“Paling mengecewakan, tiap kali bila penoreh datang ke kebun untuk mengumpulkan getah yang sepatutnya berada dalam bekas, kami dapati isinya tiada,” katanya.


Tambahnya, pencuri dipercayai datang meronda dahulu pada sebelah pagi, lebih awal darinya.


“Saya tiba jam 7 pagi hingga 7.30 pagi, mungkin sebelum waktu tu mereka mencuri. Ini kerana, ada rakan cuba intip jam 6.30 pagi, tapi tak bertemu.


“Lebih menyedihkan, adakala susu getah belum sempat kering pun, mereka dah kebas,” katanya.


Dalam pada itu, atas keprihatinan Adun Johol, Abu Samah Mahat terpanggil membantu mereka dengan menghulurkan sumbangan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]