119 banjir kilat sepanjang 5 tahun di Pulau Pinang

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Sebanyak 119 kali kejadian banjir kilat dilaporkan berlaku di Pulau Pinang sejak 2013 sehingga Oktober pada tahun ini.


Exco Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow berkata, sebanyak 22 kali banjir kilat dilaporkan berlaku sepanjang 2013 dan 20 kali dalam tahun 2014.


Beliau menambah, jumlah kejadian itu bertambah kepada 26 kali pada tahun 2015, 30 kali pada 2016 dan 21 kali sehingga Oktober tahun ini.


Kon Yeow menambah, dalam kejadian banjir besar pada 15 September lalu, sebanyak 119 kawasan di seluruh Pulau Pinang dilanda banjir kilat, dengan melibatkan 5,498 mangsa.


“Sebanyak 24 kawasan terlibat di daerah Barat Daya (BD) melibatkan 665 mangsa; 35 kawasan di daerah Timur Laut (TL) dengan 1,950 mangsa; 15 kawasan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dengan 1,854 mangsa, 14 kawasan di daerah Seberang Perau Utara (SPU) dengan 862 mangsa dan 12 kawasan di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dengan 167 mangsa,” katanya.


Kon Yeow berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Adun Bertam, Shariful Azhar Othman di Sidang Dun Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Yang ke-13 tadi.


Menjawab soalan Shariful mengenai punca sebenar kejadian banjir kilat di kawasan pulau pada 15 September lalu, Kon Yeow berkata, jumlah taburan hujan yang tinggi dalam tempoh sehari (menyamai sebulan) dan air pasang tinggi merupakan antara faktor penyumbang kepada kejadian tersebut.


 Menurutnya, selain faktor itu, kesan taufan Doksari juga turut menyumbang kepada kejadian yang menyebabkan banyak kawasan terjejas tersebut.


Kon Yeow berkata, sebahagian dari sungai dan sistem saliran di taman dan kampung sedia ada tidak dapat menampung jumlah kadar air aliran permukaan hujan lebat.


Kon Yeow menjelaskan, bagi mengatasi masalah tersebut, kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan panas (hot spot) di seluruh negeri ini.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]