156,000 pengundi belum mendaftar di Kelantan

in Edisi by


KOTA BHARU – Seramai 156,000 individu yang beralamat di Kelantan dan sudah layak untuk mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih.


Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan Fakhrul Razi Ab Wahab bagaimanapun berkata hingga suku ketiga tahun ini, seramai 1.02 juta pengundi telah mendaftar.


“Kita jangkakan seramai 70,000 pengundi akan mendaftar sepanjang Oktober hingga Disember ini dan Januari hingga Mac tahun depan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Taklimat Petugas Pilihanraya kepada Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini hari ini.


Taklimat dirasmikan Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Pilihan Raya Perak Shazree Idzham Wahab Abdul Rahman.


Fakhrul Razi turut berharap tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak pada PRU14 akan datang dan tiada masalah berkaitan pemasangan dan enggan menurunkan bendera serta ceramah membabitkan fitnah.


Sementara itu, Din berkata sepanjang PRU14 nanti, seramai 31 pegawai dan 413 anggota akan menjalankan pemantauan bagi memastikan perjalanan sepanjang kempen dan pengundian berjalan lancar.


Beliau berkata polis akan melakukan rondaan 24 jam bagi memantau suasana dan sebarang salah laku sepanjang pilihan raya.


“Kita ada 1,947 saluran mengundi dan setiap daripadanya akan dijaga oleh seorang anggota, dan sekiranya keadaan memerlukan bantuan kita akan memperolehinya daripada kontinjen luar.


“Pada PRU13 dahulu kita mendapat bantuan daripada 897 pegawai dan anggota luar,” katanya sambil menambah polis Kelantan yakin dapat menangani segala masalah sekiranya PRU14 dijalankan ketika musim tengkujuh. –Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]