Australia tutup Gunung Uluru untuk pendakian

in Global by


CANBERRA – Lembaga Taman Negara Uluru-Kata Tjuta, Australia pada Rabu mengumumkan aktiviti mendaki Uluru iaitu gunung batu terbesar dunia adalah dilarang mulai Oktober 2019, lapor agensi berita China Xinhua.


Keputusan yang dianggap bersejarah itu, dicapai sebulat suara oleh lapan pemilik tanah adat tradisional dan tiga wakil dari Taman Negara.


Larangan mendaki gunung batu, yang dianggap suci oleh penduduk tempatan Anangu dan puak orang asli berkenaan berkuatkuasa dari Oktober 2019.


Pengunjung di Uluru, yang juga dikenali sebagai Ayers Rock, sejak sekian lama telah dinasihatkan bahawa penduduk orang asli tidak suka aktiviti mendaki dilakukan tetapi aktiviti merentas hutan adalah dibenarkan.


Gunung batu tersebut dianggap suci oleh penduduk tempatan Anangu dan puak orang asli.


Pengerusi lembaga pengarah dan pemilik kawasan itu, Sammy Wilson berkata, gunung tersebut mempunyai kepentingan budaya yang mendalam.


“Ia adalah tempat yang sangat penting, bukan taman permainan atau taman tema seperti Disneyland,” katanya.


Pendakian gunung batu yang terletak 1,500 kilometer di utara Adelaide telah bermula pada 1930-an, tetapi pagar hanya dibina pada tahun 1966.


Sejak tahun 1950, sekurang-kurangnya 36 kematian dilaporkan sementara seramai 74 pendaki terpaksa diselamatkan dan dirawat antara tahun 2002 dan 2009.


Pada 2015, kira-kira 16.2 peratus pelawat mendaki Uluru namun jumlah itu menurun kepada 38 peratus pada 2010.


Keputusan melarang aktiviti mendaki, ekoran beberapa dekad kebelakangan ini, Orang Asli Australia tersinggung dengan tingkah laku pendaki. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]