Cubaan seludup 204,500 karton rokok gagal

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin Wilayah 2 berjaya mematahkan cubaan menyeludup 40.9 juta batang rokok putih bernilai RM2.4 juta dalam serbuan di Tanjung Laboh, Batu Pahat, Isnin lalu.


Dalam operasi kira-kira jam 3 pagi itu, turut ditahan seorang lelaki iaitu pemandu lori berusia 41 tahun.


Komander Polis Marin Wilayah 2, Asisten Komisioner Paul Khui Khon Chiang berkata, sebelum serbuan dilakukan, sepasukan tujuh pegawai dan anggota melakukan intipan serta risikan di persisiran pantai Tanjung Laboh, Batu Pahat.


Menurutnya, dalam intipan terbabit, pasukan operasi mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.


“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu lori tersebut memecut laju untuk melepaskan diri menuju ke jalan besar sebelum dia ditahan di hadapan sebuah universiti di Batu Pahat.


“Hasil pemeriksaan mendapati di bahagian belakang lori terdapat 204,500 karton mengandungi 40.9 juta batang rokok putih bernilai RM2.4 juta,” katanya pada sidang akhbar di Markas Polis Marin Wilayah 2, di sini, semalam.


Khon Chiang berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket itu menjadikan negara ketiga seperti Indonesia sebagai transit sebelum rokok terbabit dibawa masuk ke negara ini.


Katanya, modus operandi yang digunakan suspek sama seperti kes-kes sebelum ini yang mana sindiket menggunakan laluan laut membawa rokok seludup sebelum dipunggah di kawasan pantai terpencil dan diangkut menggunakan jalan darat.


“Suspek dan rokok terbabit kemudiannya dibawa ke Markas Polis Marin Wilayah 2 untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]