‘Dah boleh terima budaya semenanjung’

in Edisi by


PERBEZAAN budaya dan bahasa pertuturan menjadi cabaran buat anak kelahiran bumi Kenyalang ini untuk berkhidmat di semenanjung.


Namun perbezaan itu tidak menjadi masalah besar yang boleh menjejaskan tugasnya sebaliknya ia ditangani dengan baik hingga kini sudah boleh menerima pelbagai budaya yang ada.


Berasal dari Kuching, Sarawak, Alex Robert Anak Murat, 31, dilantik sebagai Pegawai Penguatkuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Cawangan Kajang, Selangor pada 2009.


Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sumber Tumbuhan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu mengakui kawasan itu memang asing baginya hingga terpaksa menghubungi seorang rakan kampus untuk meminta bantuan mendapatkan tempat tinggal.


Nasib menyebelahinya kerana kebetulan rakan yang dikenali di kolej kediaman Unimas itu sedang menyewa di Sungai Chua, Kajang dan mengajak tinggal bersama di rumah sewanya.

Alex memegang bendera SWCorp ketika acara perbarisan di Kuantan.


“Bukan itu saja, dia juga bagi saya pakai keretanya bagi memudahkan saya ke pejabat, lagi pun dia kerja bank di Mid Valley dan pergi ke sana menaiki komuter, lepas tiga bulan baru saya beli kereta sendiri.


“Terus terang bila terima untuk bekerja di semenanjung ia memang satu cabaran kerana saya tiada kenalan rapat di sini…jadi kena cari kenalan baru dan harap mereka boleh membantu,” kata bekas murid di Sekolah Rendah Bantuan (SRB) Garland dan SMK St Joseph itu.


Hadapi masalah komunikasi


Pernah berkhidmat sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) selama 5 bulan selepas menamatkan pengajian pada 2008, beliau mengakui skop kerja dengan SWCorp suatu yang baru baginya.


Katanya, ketika memohon jawatan yang kini sudah disandang kira-kira sembilan tahun itu, Alex langsung tidak dapat menggambarkan  bentuk tugas yang bakal dilaksanakan.


“Selepas menamatkan kursus asas baru saya tahu bidang tugas yang bakal dilaksanakan dan ia sebenarnya cabaran baru yang sedang menanti.


“Saya perlu mengurus pejabat cawangan dan kakitangan, nasib baik masa itu tugas lebih kepada pendedahan awal serta aktiviti dengan masyarakat sebab SWCorp masih baru. Bagi melancarkan pengurusan, saya juga bertanya dengan orang lama,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.


Sudah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata, beliau turut mengakui kerjayanya itu banyak mendedahkannya tentang pengurusan alam sekitar serta amalan kitar semula.

Alex (kiri) bersama warga SWCorp Pahang ketika sambutan hari keluarga di pantai Beserah, Kuantan.


Katanya, kini beliau amat prihatin untuk memastikan alam sekitar sentiasa bersih dan mahu masyarakat juga bersikap baik dengan alam sekitar.


 Alex juga mengakui sukar untuk berkomunikasi dengan orang semenanjung terutama kakitangan sepejabat.


“Peringkat awal saya memang mengalami masalah komunikasi hinggakan mesyuarat pertama bersama kakitangan sepejabat, saya sukar nak menyampaikan kata-kata kepada mereka.


“Lama kelamaan saya dah boleh terima dan serasi melalui pergaulan dengan mereka, cuma ia memakan masa saja,” katanya kepada Sinar Harian.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]