Masalah penyelenggaraan ICQS Bukit Kayu Hitam selesai

in Nasional by


BUKIT KAYU HITAM – Segala masalah kecil berkaitan penyelenggaraan  di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang baharu bagi fasa satu akan selesai hujung bulan ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau berkata, pihak kontraktor bagi pembinaan fasa satu kompleks itu telah berjanji untuk menyelesaikan masalah penyelenggaraan seperti jalan berhabuk dan jalan tidak diturap sepenuhnya pada akhir November ini.


“Mereka (kontraktor) berjanji dengan saya akhir bulan ini 100 peratus tercapai (selesai masalah penyelenggaraan),” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja dan mempengerusikan Mesyuarat Kedua Peringkat Tertinggi (HLC) mengenai Keselamatan dan Kawalan Sempadan Negara di ICQS itu di sini, hari ini.


Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pihaknya akan terus memantau pihak kontraktor supaya mengamalkan budaya penyelenggaraan yang baik dalam usaha memastikan pengguna di kompleks itu selesa selepas ia beroperasi sepenuhnya 20 jam sehari bermula semalam.


“Jawatankuasa HLC akan meneruskan  tugas, bukan hanya akan pantau fasa satu dan pada waktu sama akan lihat aspek operasi malah aspek keselamatan yang mana perlu dinaik taraf perkhidmatannya bagi kelicinan operasi semua jabatan dan agensi terlibat di kompleks ini,” katanya. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]