Mohon bantuan baiki surau alami keretakan

in Edisi by


KUALA LIPIS – Keselamatan lebih 200 penduduk Sungai Kerpan yang menggunakan surau di kawasan perumahan berkenaan terancam berikutan berlakunya keretakan dinding dan lantai yang dikesan sejak empat tahun lalu.


Pengerusi Surau Sungai Kerpan, Syed Alwi Syed Hussin, 83, berkata, surau terbabit mula dibina secara gotong royong sekitar tahun 1997 dengan kos sebanyak RM10,000 hasil wang derma orang ramai.


Menurutnya, dari setahun ke setahun ahli jemaah surau bersama-sama sepakat untuk menaik taraf rumah ibadah tersebut dengan membina bangsal dan tempat meletak perkakas memasak bagi memudahkan sebarang majlis diadakan di situ.


“Tiga hingga empat tahun yang lepas berlaku keretakan pada dinding dan lantai surau. Keretakan ini makin lama makin besar dan paling kritikalnya adalah pada tahun ini. Jemaah terpaksa menggunakan perbelanjaan sendiri membaiki kerosakan itu selepas aduan kepada pihak berkenaan tidak mendapat reaksi sewajarnya.


“Kami agak punca keretakan ini adalah pergerakan tanah. Kerosakan tersebut agak serius kerana kami khuatir akan menjejaskan struktur binaan surau dan sudah tentu tidak selamat untuk digunakan. Ia cukup menakutkan serta berbahaya kepada jemaah,”katanya.


Sementara itu Pengerusi Badan Kebajikan dan Keselamatan Penduduk Sungai Kerpan, Mohamed Yunos Ibrahim, 78, berkata, pihaknya telah menyerahkan surat permohonan membaik pulih surau terbabit kepada pihak berkaitan pada September lalu namun sehingga kini masih tidak menerima sebarang maklum balas.


Tambahnya, selaku penduduk di situ mereka berasa terkilan memandangkan keadaan surau yang sedia ada sekarang bukan hanya digunakan penduduk bagi menunaikan solat jemaah tetapi juga melaksanakan aktiviti keagamaan, majlis kenduri serta menguruskan jenazah jika berlakunya kematian di kawasan perumahan tersebut.


“Keadaan rumah kos rendah di sini tidaklah berapa besar untuk buat kenduriĀ  ataupun menguruskan kematian. Jadi surau inilah yang paling sesuai kerana ia lebih selesa.


“Namun kerosakan di bahagian dinding serta lantai surau ini menyukarkan penduduk untuk melaksanakan sesebuah majlis. Malah pernah berlaku kecederaan dalam kalangan jemaah kerana terkena bahagian lantai yang pecah dan retak,” katanya.


Mohamed Yunos berkata, adalah diharapkan agar pihak berkaitan cakna dan prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh jemaah di Surau Sungai Kerpan sekaligus bantu menghulurkan bantuan bagi membaik pulih surau tersebut.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]