Nafi MB Kedah beri kenyataan isu tiket

in Sukan by


AUTA


ALOAR SETAR – Sejak semalam, tular kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), mengatakan beliau kesal dengan kenyataan pihak lawan di final yang menuduh pihaknya memberi lebih 6,000 tiket kepada Umno.


Kenyataan itu juga menyebut, “sebagai Presiden KFA, saya berhak memberi tiket kepada Umno Kedah, mereka juga penyokong Kedah. Peruntukan tiket untuk Umno hanya 8,500 tiket sahaja, selebihnya untuk badan gabungan, VIP, bas dan jualan di kaunter.”


Turut dipaparkan, meminta penyokong Kedah jangan tahu bising sahaja.


“Saya juga telah mengarahkan KFA untuk menyekat Ultras Kedah hadir ke stadium kerana mereka sukar dikawal,” antara petikan kenyataan itu.


Turut tertera pada kenyataan tular itu, logo Pejabat Menteri Besar (MBO) serta Facebook, twitter dan Instagram rasmi Ahmad Bashah.


FAKTA


Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Nahar Tajri ketika dihubungi mengesahkan kenyataan yang tular itu adalah palsu.


Nahar berkata, apa yang digambarkan menerusi kenyataan itu tidak selari dengan perwatakan Ahmad Bashah.


“Mengenali beliau secara dekat, saya berpendapat tidak mungkin sama sekali Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengeluarkan satu kenyataan yang disifatkan terlalu kasar, tanpa pertimbangan wajar seperti itu,” katanya.


Menurutnya, ia mungkin perbuatan nakal pihak tertentu selain bersifat kebudak-budakan.


“Perkara seperti ini hanya akan mengeruhkan keadaan, saya harap hentikan segera fitnah,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]