OKU berkaki palsu antara 16 ditahan AADK

in Edisi Utara by


PENDANG – Seorang lelaki berusia 37 tahun dan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) kerana berkaki palsu turut ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pendang ketika leka menagih dadah di Kampung Belakang Pendang.


Pemangku Ketua Pegawai AADK Daerah Pendang, Nazir Kassim berkata, pihaknya turut melakukan operasi mengesan dan menahan penagih dadah di beberapa kawasan tumpuan lain iaitu Kampung Sungai Tiang,  Kampung Tok Set,  Kampung Pulau Keramat, dan Kampung Changkat Nering.


“Operasi dijalankan berdasarkan aduan orang awam dengan kekuatan anggota seramai enam orang,” katanya.


Katanya, operasi yang bermula sekitar jam 11 malam dan berakhir jam 5 pagi tadi telah berjaya menahan 16 individu yang dipercayai terlibat dengan penagihan dadah.


“Serbuan dijalankan dibeberapa buah rumah yang disyaki menjadi port penagihan mereka.


“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 43 tahun dan kebanyakan mereka bekerja sebagai penoreh getah dan pesawah,” katanya.


Menurut Nazir, mereka dibawa ke Pejabat AADK Daerah Pendang untuk tindakan lanjut.


“Hasil ujian saringan air kencing, seramai 14 positif dadah jenis methamphetamine manakala dua yang lain negatif sebarang jenis dadah dan dibebaskan tanpa syarat,” katanya.


Nazir berkata, pihak AADK menghadapi kesukaran ketika menjalankan tugas kerana keadaan semak di kawasan rumah yang membahayakan anggota ketika serbuan dan mereka terdedah dengan bahaya haiwan berbisa.


“Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” katanya.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]