Padah korek pasir secara haram

in Edisi Johor by


KLUANG – Seorang pemilik sebuah syarikat di sini, ditahan dipercayai mengorek dan memunggah pasir sungai dari Sungai Sayong, Inas, mukim Layang-Layang, dekat sini, kelmarin.


Tangkapan tersebut dilakukan lebih kurang jam 10 pagi oleh bahagian Penguat kuasa Pejabat Tanah Kluang (PTD) menerusi Operasi Pancing yang diketuai Zainurin Abd Rahman.


Pentadbir Tanah Daerah Kluang, Mustaffa Kamal Shamsudin berkata, dalam operasi itu, seorang lelaki berusia 64 tahun dan berasal dari Yong Peng, merupakan pemilik sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti mengorek dan memunggah pasir ditahan.


Menurutnya, sebelum tertangkapnya lelaki itu, pada 29 Oktober lalu polis berjaya menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang sedang leka menjalankan kerja mengorek pasir sungai tanpa kebenaran dengan menggunakan ‘pontoon’ dan jengkaut dalam operasi pemantauan berkala.


“Bagaimanapun, menerusi operasi pemantauan berkenaan, salah seorang warga Bangladesh tersebut berjaya melarikan diri kerana anggota PTD hanya dua orang berbanding tiga yang ditahan.


“Mereka ditahan kira-kira jam 11 pagi di kawasan tapak pencerobohan dan dibawa dengan kenderaan Pejabat Tanah Kluang ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang.


“Berdasarkan maklumat dari dua pekerja asing ini, operasi khas telah dilaksanakan hingga membawa kepada penahanan majikan mereka di tapak pencerobohan,” katanya, semalam.


Menurut Mustaffa Kamal, syarikat terbabit pernah mendapat kelulusan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) mulai Januari 2016.


Namun ujarnya, untuk tahun ini ia telah dibatalkan pada 25 Julai lalu, berikutan Badan Kawal selia Air Johor (Bakaj) menarik balik sokongan kerana kualiti air Sungai Johor kian tercemar, dan kegiatan mengorek pasir itu didapati turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti air mentah di sungai tersebut.


“Majikan syarikat ini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan akan didakwa di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.


“Manakala dua warga asing tersebut akan dijadikan saksi pendakwaan. Pada masa ini mereka masih dalam tahanan reman polis sehingga 12 November ini dan akan dituduh di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” katanya.


Tambahnya, kedua-dua jentera yang digunakan untuk mengorek, memunggah serta memindah pasir sungai tanpa kebenaran yang sah telah disita dan akan dilucut hak melalui Mahkamah Sesyen Daerah Kluang.


“Manakala longgokan pasir sungai juga akan dilelong dengan perintah mahkamah yang sama,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]