Perlu lengkap data kilang sepanjang Sungai Johor

in Edisi by


SEGAMAT – Pejabat Tanah Daerah (PTD) Kulai dan Kota Tinggi diminta supaya melengkapkan segera sistem pangkalan data kilang-kilang yang wujud di sepanjang Sungai Johor bagi membolehkan kerajaan negeri mengenalpasti setiap aktiviti yang berlaku.


Exco Alam Sekitar, Kesihatan, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, sistem pangkalan data tersebut meliputi kegiatan mengorek pasir dan operasi kilang sama ada yang berlesen atau sebaliknya di sepanjang Sungai Johor dan kawasan rangkaiannya


“Apabila data-data ini telah lengkap, mudah untuk kita pantau serta kenalpasti dan sebelum ini juga saya pernah mencadangkan agar proses pemutihan kilang-kilang tersebut dilakukan kerana dengan cara ini sahaja pihak kilang ini akan memohon dengan jabatan berkaitan untuk mendapatkan lesen dan status tanah.


“Dengan ini juga kita boleh tahu jumlah kilang yang ada dan pada masa sama meluluskan atau menolak permohonan mereka dan sekiranya ada kilang-kilang haram yang tidak menepati kriteria, PTD dengan mudah boleh menutup kilang itu atau memulihkan tanah-tanah yang terjejas,” katanya.


Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Muafakat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Peringkat Negeri Johor 2017 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jagoh, di sini, hari ini.


Turut hadir ialah Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim; Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim-dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Sharif.


Semalam, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memutuskan ladang ayam dan kilang memproses baja najis ayam yang menjadi punca pencemaran ammonia di Sungai Sayong, Kulai, baru-baru ini, ditutup.


Kerajaan negeri melalui Exco Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad juga memutuskan untuk membatalkan rayuan permohonan pengusaha ladang ayam dan kilang untuk mengubah status syarat tanah di kawasan itu.


Pada masa sama, beliau turut meminta alumni setiap sekolah yang telah berjaya dalam pelbagai bidang sama ada di dalam atau di luar negara diminta tampil ke hadapan agar mampu bekerjasama serta menyumbang sesuatu kepada sekolah dan PIBG.


“Alumni tidak sepatutnya lupa dengan budi yang ditabur oleh kerajaan sehingga membolehkan mereka berjaya dalam hidup dan mempunyai kerjaya baik. Mereka seharusnya membalas jasa itu dengan menyokong atau membantu sekolah dan PIBG apabila diperlukan.


“Usaha yang dilakukan oleh alumni seperti yang terdapat di negara asing patut dicontohi di negara ini dengan bukan setakat berbakti dengan mengeluarkan pelbagai bantuan sebaiknya termasuk membina bangunan untuk keperluan pelajar yang sedang belajar di situ,” katanya.


Menurutnya, di negeri ini sahaja terdapat 1,182 PIBG dan penglibatan komuniti dalam membantu kecemerlangan sekolah juga amat diperlukan dan pada masa sama membolehkan guru-guru kekal fokus terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran (PDP).


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]