Prasarana lancar program SMILE, mantapkan perkhidmatan

in Bisnes by


PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini melancarkan program Senyuman Mesra, Ikhlas, Layanan Efisien (SMILE) bagi memantapkan kualiti perkhidmatannya.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata inisiatif secara berterusan itu adalah untuk memupuk budaya mesra dalam kalangan warga kerja Prasarana sendiri selain merapatkan hubungan dengan para pelanggan.


Beliau berkata usaha itu dapat menaikkan imej syarikat dan menarik lebih ramai pengguna perkhidmatan  kendalian Prasarana, sejajar usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada nisbah 40:60 berbanding penggunaan kenderaan sendiri pada 2030.


“Sebagai permulaan, program ini menyasarkan tiga kumpulan utama iaitu Rapid Rail, Bas Rapid dan pasukan Polis Bantuan Prasarana.


“Akademi Rel Rapid Rail dan Akademi Bas Rapid Bus menjadi tenaga utama dalam menyediakan latihan kepada staf dan kakitangan Prasarana yang kini melebihi 10,000 orang,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program itu di sini.


Azmi berkata pendekatan senyuman itu diharapkan dapat mewujudkan suasana persekitaran yang ceria dan mengajak orang ramai mengamalkan budaya sopan santun.


Prasarana mengendalikan perkhidmatan bas RapidKL, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan KL Monorel di ibu negara. – Bernama

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]