Rasa bahang di seluruh badan

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Tersentak saya dari tidur bila rasa bahang di seluruh badan, pada mulanya saya anggap ia hanya mimpi tapi tak sangka rupa-rupanya ia benar-benar berlaku,” kata A Krishnan, 70.


Krishnan adalah mangsa kebakaran yang berlaku kira-kira jam 3 pagi semalam, di Taman Banang Jaya di sini, yang turut membabitkan 15 sekeluarga, termasuklah pemilik rumah berkenaan, Logesvaran, 39.


Menurut Krishnan, dalam kejadian itu dia bersyukur kerana anaknya, Logesvaran telah mengejutnya daripada tidur, jika tidak dia sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku padanya.


“Bila terjaga dari tidur, saya nampak api marak di bahagian salah satu dari bilik rumah. Saya dengan ahli keluarga yang lain cuba padamkan kebakaran itu.


“Waktu tu saya nampak ada pili air, tanpa berfikir panjang terus buka dan cuba padam kebakaran. Mujur api dapat dikawal dari terus merebak di keseluruhan bahagian rumah. Anak saya kemudiannya terus hubungi bomba.


“Tidak lama kemudian bomba tiba dan terus memadam keseluruhan kebakaran rumah kami, sekali gus mengawal ia merebak ke rumah jiran,” katanya.


Ujarnya, akibat kebakaran itu, bahagian atas rumah termasuk empat bilik musnah, terutamanya perabot serta barangan elektrik.


“Mujur ia tak sempat merebak ke bahagian bawah rumah. Kami kini tinggal di bahagian bawah setelah pihak bomba menyatakan ia selamat, cuma masih belum disambung bekalan elektrik kerana memerlukan pendawaian semula.


“Walaupun kebakaran ini menyebabkan kami kerugian ribuan ringgit, tapi kami bersyukur kerana tidak mengalami kemalangan jiwa, termasuklah kecederaan serius.


“Kami juga bersyukur kerana pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat, mewakili BN kawasan berkenaan menghulurkan bantuan,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Mad Tap berkata, walaupun mangsa berbangsa India, pihaknya mewakili BN dan MIC Batu Pahat tetap menghulurkan bantuan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]