Siap siaga hadapi bah

in Edisi by


KOTA BHARU – Kerajaan negeri bersiap siaga bagi mendepani musim tengkujuh yang kini sudah bermula di beberapa kawasan di negeri ini, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.


Menurutnya, sehingga kini, persiapan sudah dilakukan sejak tiga bulan lalu melibatkan pengumpulan bahan dan mengadakan kursus-kursus di peringkat kerajaan.


“Kita harap kalau berlaku banjir tahun ini tidaklah seteruk 2014, persiapan berjalan lancar setakat ini dan kita juga sudah dimaklumkan yang semuanya sudah siap sedia,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini.


Menurutnya, aktiviti pembalakan dan pertanian di beberapa kawasan pedalaman masih belum dihentikan memandangkan hujan baru sahaja bermula, maka tiada arahan pemberhentian operasi dibuat, kecuali berdepan cuaca yang tidak mengizinkan.


Beliau juga memberitahu, setakat ini tiada tempoh tertentu diperuntukkan dalam mana-mana peraturan melibatkan pemberhentian operasi sebelum musim tengkujuh, namun kawalan terperinci dilakukan selepas 2014 lalu.


“Tapi sebagaimana yang kita ketahui, kalau hujan lebat biasanya pengusaha pertanian dan pembalakan akan menghentikan operasi mereka. Untuk pihak kerajaan negeri, kita tidak keluarkan apa-apa arahan. Biasanya bulan Oktober hingga Disember ini semua kerja pertanian dan pembalakan akan mula perlahan.


“Kebanyakannya pertanian dan pembalakan di sebelah hulu, mereka akan hentikan aktiviti jika hujan mengganggu aktiviti mereka. Tapi dalam masa yang sama, kita tetap pantau dan tunggu laporan.


“Kalau ada laporan-laporan yang memerlukan kerajaan masuk campur dan bertindak, kita akan masuk campur,” katanya.


Source: SH Edisi Kelantan

[featured-video-plus]