Tumpas edar dadah bernilai RM900,000

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


NILAI – Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan pengedaran dadah berbahaya jenis ketamin seberat 20 kilogram bernilai RM900,000.


Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Putrajaya, Datuk Zulkifli Yahya berkata, dadah itu dirampas daripada seorang lelaki di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA pada 13 Oktober lalu.


“Bertindak atas maklumat, jam lebih kurang 10.45 pagi, sepasukan anggota telah membuat pemeriksaan ke atas seorang penumpang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang baru tiba dari Mumbai, India.


“Hasil pemeriksaan menjumpai dua buah bungkusan mengandungi serbuk berwarna coklat di dalam bagasinya yang didakwa sebagai kunyit,” katanya pada sidang media diadakan di Pejabat Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kampung Jijan Tengah, di sini pagi tadi.


Menurutnya, hasil ujian saringan awal oleh Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan serbuk terbabit adalah dadah jenis ketamin.


Sehubungan itu, katanya, suspek yang merupakan pemilik sebuah pusat karaoke di ibu negara direman selama 14 hari sehingga Isnin ini.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]