Unimap sedia hadapi revolusi industri 4.0

in Nasional by


BAGI menghadapi Revolusi Industri 4.0, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) melaksanakan dasar dan inisiatif proaktif yang selaras dengan dasar Pelan Tindakan Pendidikan Malaysia, kata Naib Canselornya, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal.


Beliau berkata, antara tindakan yang sedang dan telah dilaksanakan ialah mengoptimumkan sumber dalaman serta meningkatkan hubungan luar agar UniMAP tidak tersisih dalam perkembangan dunia yang semakin mencabar.


“Gelombang revolusi ini telah pun bermula. Jadi kita kena bersedia menghadapinya untuk terus kekal relevan,” katanya ketika merasmikan Seminar Industri 4.0 di kampus induk universiti itu di sini, malam tadi.


Zul Azhar berkata UniMAP sebagai sebuah pusat pengajian tinggi ulung di Perlis akan terus memberi bantuan dan kepakaran dalam pelbagai bidang kepada kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), merancang pembangunan di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA).


Seminar anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Majlis Profesor UniMAP itu menekankan kepentingan Revolusi Industri 4.0 dan agenda pendidikan negara bagi membantu para pensyarah melahirkan idea positif berkaitan revolusi industri dari aspek pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan serta teknologi dan komunikasi.


Selain itu, ia juga memberi pendedahan kepada pensyarah tentang kesan revolusi industri terhadap penggunaan sumber tenaga kerja manusia dan memperkenalkan inisiatif-inisiatif serta idea yang memanfaatkan universiti. – Bernama

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]