Afif mahu terus fokus beri aksi terbaik

in Sukan by


AHMAD Afif Amran belum mahu mengalah meskipun akui tugas sukar untuk menghalang Kasma Daniel Kasmayudin daripada memegang gelaran keseluruhan kategori CP150 pada saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Batu Kawan, Pulau Pinang bermula esok dan hujung minggu ini.


Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ itu berada di tangga kedua keseluruhan dengan 100 mata, 25 mata di belakang pendahulu, Kasma (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) dan pencabarnya itu bakal dinobatkan selaku juara keseluruhan seandainya berjaya menamatkan perlumbaan di hadapan Afif.


“Semua tahu Kasma seorang pelumba yang pantas dan bukan mudah untuk menewaskannya. Namun apa sahaja boleh berlaku di dalam litar, contohnya seperti pusingan lepas apabila Kasma mengalami kemalangan, begitu juga dengan saya dan kami sama-sama kehilangan banyak mata di Jempol.


“Ini membuktikan yang saingan masih belum tamat selagi kami belum melintasi garisan penamat. Apa yang penting, saya perlu fokus untuk memberi aksi terbaik dan cuba untuk menewaskan Kasma.


“Jika gagal, sekurang-kurangnya saya sudah memberikan yang terbaik di atas litar dan sasaran saya untuk tamat di kelompok lima pelumba terbaik di Batu kawan untuk mengekalkan kedudukan sebagai naib juara keseluruhan,” jelas Afif.


Pada masa sama pelumba berusia 22 tahun itu perlu berhati-hati dengan cabaran dua lagi rakan sepasukan Kasma iaitu Ahmad Fazli Sham dan Mohd Ramdan Rosli yang mengekori di kedudukan ketiga dan keempat, masing-masing dengan 75 mata dan 70 mata.


“Tugas saya pada minggu ini agak berat. Saya perlu merancang strategi terbaik. Selain berusaha untuk mengekang Kasma, saya juga perlu berwaspada dengan Fazli dan Ramdan kerana mereka boleh mengancam kedudukan saya ketika ini,” katanya.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]