Bersatu ikut perlembagaan: Syed Saddiq

in Politik by


SHAH ALAM – Keputusan Bersatu menangguhkan mesyuarat agung di peringkat bahagian dan cawangan dicapai dalam mesyuarat khas Majlis Presiden Kepimpinan Bersatu seperti  termaktub dalam perlembagaan parti.


Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, makluman mengenai mesyuarat itu  turut diberi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan peguam parti.


“Mesyuarat khas itu diadakan tiga bulan lalu, dan  mengikut perlembagaan parti untuk menangguhkan mesyuarat agung seperti dibangkitkan.


“Walaupun parti ditubuhkan pada September 2016, tapi di peringkat bahagian dan cawangan ia hanya disiapkan dalam tempoh tahun ini (belum dimuktamadkan),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Kelmarin, lapan bahagian Bersatu Johor mengemukakan aduan kepada RoS berhubung kegagalan pucuk pimpinan mematuhi ketetapan perlembagaan parti.


Syed Saddiq mendakwa, individu yang mengemukakan aduan kepada RoS itu tidak mewakili bahagian dinyatakan.


“Saya sendiri telah hubungi bahagian terlibat dan  dimaklumkan mereka yang buat aduan tidak mewakili bahagian itu langsung.


“Saya juga diberitahu, mereka adalah golongan yang diberikan jawatan seperti dimahukan dalam bahagian tersebut,” katanya.


Sehubungan itu, beliau percaya tindakan tersebut adalah antara usaha untuk melemahkan gerakan Bersatu.


“Kalau kita lihat, sebelum ini timbul masalah di Kedah, dan kali ini di Johor. Ini bukan perkara baharu. Sebelum ini, ada tiga bekas Exco Armada yang tiba-tiba menyerang Bersatu dan buat aduan kepada RoS,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]