Boost-UTM tanpa tunai

in Bisnes by


BOOST, aplikasi berasaskan dompet mudah alih inovatif, meluaskan pasarannya dengan menjadikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai kampus tanpa tunai yang pertama di negara ini, menerusi kerjasama dua entiti tersebut.


Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin berkata, dengan mengaktifkan aplikasi Boost di telefon pintar masing-masing, semua 25,000 pelajar dan warga kerja UTM di kampus Kuala Lumpur dan Skudai, Johor dapat menggunakan dompet mudah alih sebagai mod pembayaran tunggal bagi semua pembelian di kampus.


“Pada masa ini, 200 peniaga di UTM dan sehingga kini 24 peniaga sudah menggunakan kaedah tanpa tunai. Jumlah peniaga yang akan menggunakan transaksi tanpa tunai dijangka akan meningkat secara berperingkat,” katanya selepas memeterai kerjasama dengan UTM dan rakan perolehan peniaga tunggalnya, Zen Trillion Sdn Bhd (Zen Trillion) di Kuala Lumpur, kelmarin.


Christopher berkata, Boost dibangunkan Axiata Digital merevolusikan cara pengguna berurus niaga dalam dunia digital hari ini.


“Boost merupakan sempadan ekonomi digital dan salah satu dompet mudah alih terpantas di pasaran. Kami percaya ini permulaan untuk membentuk lebih banyak perkongsian pada masa depan untuk mendidik pengguna tentang kebolehpercayaan dan keselamatan aplikasi e-Dompet,” katanya.


Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM, Prof Dr Azlan Abd Rahman berkata, Boost sediakan pelajar UTM dengan gaya hidup digital mudah dan selamat.


“Selaras visi UTM untuk diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan akademik dan teknologi bertaraf dunia berpengaruh, kami berhasrat mengubah semua perkhidmatan kami supaya mudah diakses menerusi cara digital. Perkongsian ini menandakan permulaannya inisiatif kami bergerak ke hadapan sebagai kampus digital,” katanya.


Pada majlis itu, Christopher dan Azlan memeterai plak tanda perkongsian antara Boost dan UTM, manakala Zen Trillion diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dick Hilmi Hassan.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]