GST imbangi sumber pendapatan negara

in Nasional by


MELAKA – Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mampu mengimbangi sumber pendapatan negara sekali gus menghasilkan perancangan pentadbiran yang menyeluruh bagi Bajet 2018, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.


Beliau berkata penurunan mendadak harga pasaran minyak dunia telah mengakibatkan negara kehilangan sumber pendapatan yang tinggi dan ia berjaya diimbangi oleh pelaksanaan sistem cukai itu.


“Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengiktiraf usaha Malaysia melaksanakan GST dan kerajaan India pernah menjadikan negara ini sebagai contoh sebelum melaksanakan sistem cukai itu. Kerajaan Arab Saudi turut merancang untuk melaksanakan sistem cukai tersebut.


“Walaupun GST diperkenalkan, kerajaan masih mengambil kira keperluan dan kepentingan golongan yang kurang berkemampuan di negara ini apabila kadar yang dikenakan hanya enam peratus berbanding negara lain yang mengenakan GST dari tujuh hingga lebih 20 peratus,” katanya kepada pemberita hari ini.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Tamat Kursus Asas Penguasa Kastam Gred WK41 dan Penolong Penguasa Kastam Gred WK29 di Akademi Kastam Diraja Malaysia di sini.


Turut hadir Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya dan Pengarah Kastam Melaka Datuk Mohd Noor Yusoff.


Mohd Irwan Serigar berkata banyak kelonggaran telah diberikan kerajaan termasuk pelepasan cukai ke atas barangan keperluan antaranya ubat-ubatan, peralatan kesihatan dan makanan berbanding negara lain yang mengenakan GST dengan kadar tinggi selain tiada pelepasan cukai diberikan.


Beliau turut menyifatkan Bajet 2018 sebagai perancangan menyeluruh yang melibatkan semua golongan termasuk usahawan pertanian, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), data teknologi digital, wanita, bayi dan warga emas.


“Kerajaan bukan sahaja membentangkan Bajet 2018 untuk tahun depan, malah ia merupakan perancangan negara menerusi pelan jangka sederhana antaranya pengukuhan sektor pendidikan dan pelan jangka panjang ke arah merealisasikan pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kastam sedang menjalankan kajian terperinci berhubung hasrat kerajaan untuk mengkorporatkan jabatan itu seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac lepas.


Katanya kajian yang dilakukan turut melihat kepada negara lain seperti United Kingdom dan Australia yang telah melaksanakan langkah pengkorporatan agensi kastam mereka.


Sementara itu, Subromaniam berkata Jabatan Kastam merancang untuk melaksanakan pentadbiran mengikut zon di seluruh negara bagi menjimatkan perbelanjaan jabatan itu.


Beliau juga berkata Jabatan Kastam kini mempunyai keanggotaan sebanyak 15,000 perjawatan di seluruh negara dan masih terdapat kira-kira 700 kekosongan jawatan pelbagai pangkat yang belum diisi. -Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]