Hutang negara kekal di bawah 55 peratus daripada KDNK

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Proses konsolidasi fiskal yang berhemat telah dapat mengelak hutang Kerajaan Persekutuan daripada melepasi had hutang 55 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK yang ditetapkannya.


Hutang tersebut yang berada dalam trend menurun daripada 54.5 peratus pada 2015 kepada 52.7 peratus pada 2016, berada pada RM685.1 bilion atau 50.9 peratus daripada KDNK setakat akhir Jun 2017, demikian menurut Laporan Ekonomi 2017/2018.


“Daripada jumlah itu, 96.7 peratus atau RM662.4 bilion adalah hutang domestik (49.2 peratus daripada KDNK) manakala 3.3 peratus atau RM22.7 bilion (1.7 peratus daripada KDNK) adalah pinjaman luar pesisir.


Semalam Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, hutang Kerajaan Persekutuan kekal terurus dengan baik dan dikategorikan sebagai sederhana.


“Tidak ada salahnya dengan pinjaman yang dibuat untuk pembangunan, infrastruktur, kebajikan rakyat serta bagi merangsang ekonomi. Dalam jangka panjang, hasil ekonomi akan mampu membayar balik,” kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika diwawancara dalam program “Soal-Jawab” TV3 baru-baru ini.


Menurutnya, pertumbuhan tidak diperoleh dengan mengorbankan kedudukan fiskal kerajaan kerana aktiviti ekonomi Malaysia hari ini dipacu oleh sektor swasta.


Sektor swasta yang menerajui pembangunan, contohnya jalan bertol dan infrastruktur seperti transit aliran massa dan transit aliran ringan, dipacu oleh syarikat yang meminjam untuk pulangan pada masa depan, kata Johari.


Bagi memastikan had hutang Kerajaan Persekutuan kekal rendah dan terurus, konsolidasi fiskal negara dijangka terus dilaksana bagi mengurangkan paras defisit secara berfasa.


Defisit fiskal untuk 2018 disasar untuk dikurangkan lagi kepada 2.8 peratus daripada KDNK atau RM39.8 bilion (2017: 3.0 peratus; RM39.9 bilion), dan dengan itu, hutang Kerajaan Persekutuan akan kekal mampan dalam lingkungan had berhemat 55 peratus daripada KDNK.


Berikutan itu, kerajaan kini berada dalam kedudukan baik untuk mencapai sasaran keseimbangan fiskal menjelang 2020 sebagaimana dinyatakan dalam Program Transformasi Nasional (NTP).


Pembangunan terbabit akan mengukuhkan asas dan ketahanan ekonomi ke arah menjadi negara maju menjelang 2020.


NTP yang dilancar pada 2010 itu merangkumi Program Transformasi Ekonomi serta Program Transformasi Kerajaan bagi meningkatkan sistem penyampaian kerajaan dan memacu Malaysia ke arah status berpendapatan tinggi menjelang 2020.


Kerajaan merancang untuk menggandakan saiz ekonomi Malaysia kepada RM2 trilion menjelang 2025 daripada kira-kira RM1.2 trilion tahun depan dan menyertai kumpulan 20 negara teratas pada 2050. –Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]