Misi berterusan bantu etnik Rohingya

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Misi bantuan kemanusiaan diteruskan oleh Persatuan Darul Fitrah Negeri Terengganu bagi membantu etnik Rohingya.


Pengerusinya, Norhana Abdullah berkata, pada misi pertama, pihaknya berjaya menyediakan sebanyak 750 hamper makanan untuk etnik itu hasil sumbangan orang ramai dan juga pihak-pihak yang prihatin.


Menurutnya, meskipun misi menghantar bantuan selesai, namun meneruskan mengumpul dana bagi menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara yang dibuang dari tanah air sendiri dan berjuang untuk terus hidup.    


 “Walaupun kami telah kembali ke Malaysia namun pasukan kami yang diwakili oleh Majlis Rohingya Eropah (ERC) ini masih melakukan kerja di kem-kem terlibat.  Malah, kami telah mengedarkan dua lagi lori bantuan makanan kepada 550 buah keluarga.


“Klinik kami juga diketuai oleh Ro H Kyaw yang menjejaki dan merawat pesakit yang kritikal  di kem-kem yang jauh. Kami juga telah mengagihkan 2,000 naskhah al-Quran yang sangat diperlukan oleh pelarian,” katanya.


Menurutnya, bagi pihak pelarian Rohingya, beliau merayu kepada orang perseorangan mahupun syarikat korporat untuk memberi sumbangan untuk bekalan makanan dan rawatan saudara-saudara Rohingya di sempadan Bangladesh.


“Kita juga terus mengumpul dana bagi menghulurkan bantuan. Kepada mereka yang prihatin, boleh menyalurkan bantuan ke akaun berikut; melalui Persatuan Darul Fitrah Negeri Terengganu dengan nombor akaun (Maybank  563019251898),” katanya.


“Kami semua mesti berganding bahu membantu mereka kerana ramai lagi pelarian masih tunggu di sempadan,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]