Pakatan Harapan tuntut inkuiri kemalangan konvoi Anwar

in Politik by


PAKATAN Harapan mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menubuhkan segera inkuiri bagi mengetahui punca kemalangan membabitkan konvoi kereta dan van yang membawa Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lalu.


Peguam Anwar, R Sivarasa berkata, inkuiri itu perlu diwujudkan bagi mengetahui punca kemalangan yang memburukkan lagi kesihatan Anwar.


“Perlu ada penjelasan Ahmad Zahid mengenai kemalangan ini. Siapa yang bertanggungjawab dan mengapa rawatan lambat diberikan?,” katanya pada pemberita di Parlimen, semalam.


Menurut Ahli Parlimen Subang itu, kemalangan tersebut memburukkan lagi kecederaan pada bahu kanan Anwar iaitu ‘rotator cuff tear’ yang telah lama dihidapi.


“Saya telah beberapa kali berjumpa Anwar selepas kemalangan tersebut. Kali terakhir, Jumaat minggu lalu.


“Saya lihat kesakitan dialaminya jauh lebih buruk.


“Akibatnya, tahap pengambilan ubat tahan sakit meningkat dan Anwar terpaksa buat keputusan untuk buat pembedahan,” katanya.


Pada 22 September lalu, konvoi kereta dan van membawa pegawai penjara serta Anwar terlibat kemalangan.


Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata, inkuiri itu perlu ditubuhkan bagi menggelak persepsi buruk rakyat bahawa insiden itu adalah terancang.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]