Pasangan kekasih, rakan didakwa edar methamphetamine

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Pasangan kekasih dan seorang rakan mereka didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini bagi pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 55.8 gram di sebuah bilik sewa, bulan lepas.


Mekanik Mohd Zikri Mohd Noor, 36, teman wanitanya, Siti Amira Mazlan, 29, yang tidak bekerja dan rakan mereka Mohd Shahrizan Abd Rahman, 35, yang menganggur, mengangguk faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.


Tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh itu, yang bersahabat sejak zaman persekolahan itu, kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bilik sewa Mohd Zikri dan Siti Amira di sebuah rumah di Jalan Pandan 3/10, Taman Pandan Jaya di sini pada 8.30 malam, 27 Oktober lepas.


Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.


Mahkamah menetapkan 21 Disember untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. –Bernama


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]