Pelajar IPT dirogol ketika menunggu bas

in Semasa by


SHAH ALAM – Seorang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) bukan sahaja kehilangan wang ringgit dan telefon bimbitnya, lebih malang lagi mangsa turut dirogol.


Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 8.30 malam, kelmarin, mangsa berusia 22 tahun sedang menunggu bas berhampiran pasar malam Seksyen 7, di sini untuk pulang ke rumah.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa kemudian telah didatangi oleh seorang lelaki menaiki kereta yang bertanyakan arah jalan.


Menurutnya, mangsa kemudian telah diugut dengan menggunakan senjata pisau dan dipaksa masuk ke dalam kenderaan suspek.


“Semasa dalam kenderaan, mangsa telah dirogol, malah suspek juga telah mengambil wang tunai RM100 dan telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri,” katanya.


Beliau berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 4 pagi tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah pergi ke sebuah pangsapuri di Pelabuhan Klang dan menahan seorang lelaki berusia 27 tahun.


Katanya, beberapa barang telah dirampas seperti sehelai baju dan seluar jeans, sebilah pisau, kasut dan telefon bimbit jenis Samsung J2 Prime milik mangsa.


“Siasatan awal mendapati suspek berusia 27 tahun yang bekerja sambilan memandu Grabcar ini dipercayai terlibat melakukan jenayah terbabit secara berseorangan. Pemeriksaan rekod dapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau.


“Suspek kini direman tujuh hari sehingga Khamis depan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya.


Source: SH Semasa

[featured-video-plus]