Penduduk tepi pantai resah

in Edisi by


KOTA BHARU – Tidur-tidur ayam sudah menjadi perkara biasa buat penduduk di gigi pantai tatkala memasuki musim tengkujuh kerana bimbang rumah mereka dilambung ombak.


Termasuk juga penduduk di sekitar Pantai Kundur di sini telah mengambil langkah berjaga-jaga sejak beberapa hari lalu berikutan hujan lebat sekali sekala dan ombak besar di lewat malam.


Seorang penduduk, Abdul Aziz Mamat, 63, berkata, penduduk di pinggir pantai semakin bimbang berikutan ada di antara benteng guni pasir yang baharu diletakkan tiga minggu lalu di kawasan tersebut runtuh.


“Malam kelmarin hujan lebat  dan ombak besar kira-kira jam 2 pagi.


“Guni pasir tepi rumah pakcik sudah runtuh sikit demi sedikit. Memang kami bimbang sebab sekarang ni sudah nak masuk musim bah.


“Tidur pun tak lena. Asyik terjaga sebab takut ombak masuk rumah. Sebab jarak rumah dengan tepi pantai tak sampai 20 langkah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Bagaimanapun dia tidak mahu berpindah ke tempat lain kerana itu adalah rumah yang diduduki sejak sekian lama, lagipun anak-anak, isteri juga tinggal bersamanya dan dunia nelayannya sudah sebati dengan jiwanya dan sukar untuk dia beralih tempat.


Abdul Aziz juga berkata, sejak beberapa minggu ini dia tidak ke laut dan mengambil peluang membaiki  mana-mana pukat yang carik termasuk memindahkan barangan ke kawasan lebih selamat.


Seorang lagi penduduk, Mariam Hassan,  59, berkata, dia sudah mula pindahkan barangan yang penting ke surau berhampiran sebagai persediaan kerana tidak mahu kejadian banjir besar tahun 2014 dialaminya berulang.


“Kami minta izin dengan penduduk untuk letak baju dan barangan di surau yang terletak di kawasan agak tinggi.


“Sekarang cuaca tidak menentu, kadang-kadang hujan lebat dan ombak besar, jadi lebih baik kami beringat,” katanya.


Katanya, dalam masa beberapa hari, ombak besar melimpah sehingga ke laman rumah tetapi belum memasuki ke dalam tempat tinggal.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]