Polis serbu pondok proses ketum

in Edisi by


BUKIT MERTAJAM – Polis menahan lima lelaki dalam serbuan di sebuah pondok belakang rumah di Kampung Janggus di sini semalam kerana terlibat dalam kegiatan menjual air ketum.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komidioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam serbuan dilakukan kira-kira jam 8 malam itu kesemua mereka sedang leka menikmati minuman berkenaan dan tidak dapat melarikan diri.


Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan menemui 40 bungkusan air ketum bernilai RM400 dan pelbagai peralatan memproses air ketum dalam pondok yang dijadikan tempat memasak serta membungkus air berkenaan.


“Berdasarkan siasatan mereka turut menjadikan pondok itu sebagai tempat pelanggan minum air ketum berkenaan dan ia beroperasi sejak tiga bulan lepas.


“Sindiket ini dipercayai mendapatkan bekalan daun ketum dari negeri jiran sebelum memproses sendiri,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata, sindiket itu mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap bulan dan lima lelaki berusia di antara 34 hingga 58 tahun kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]