Rugi RM33,000 ditipu sindiket menyamar pegawai mahkamah

in Edisi Selangor KL by


SUBANG JAYA – Seorang pengurus syarikat kerugian RM33,000 selepas ditipu kumpulan sindiket yang masing-masing menyamar sebagai pegawai bantu am, kononnya dari Mahkamah Majistret Jitra Kedah, ‘anggota polis’ dan ‘pegawai’ dari Bank Negara.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, mangsa berusia 46 tahun dari Puchong menerima panggilan dari seorang lelaki ketika berada di tempat kerja kira-kira jam 12 tengah hari, Selasa lalu.


Pemanggil yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bantu am memaklumkan mangsa terlibat kes penggunaan kad kredit dan sepatutnya hadir ke mahkamah pada hari berkenaan.


Menurutnya, mangsa menafikan dia ada menggunakan kad kredit bank dinyatakan sebelum panggilan itu disambungkan kononnya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang didakwa bagi tujuan laporan kecemasan.


“Pegawai palsu itu mengingatkan mangsa supaya menghantar laporan menerusi mesin faksimili kepada mahkamah sebelum panggilan disambungkan pula kepada ‘anggota polis’ yang didakwa berpangkat sarjan di IPK Kedah.


“Selepas ‘sarjan’ itu  terima laporan dan maklumkan nombor repot, panggilan itu kemudian disambungkan kepada seorang wanita berpangkat Asisten Superintendan kononnya dari Bank Negara,”katanya.


Mangsa diajukan pelbagai soalan termasuk ditanya berkenaan maklumat peribadi dan bank.


Pegawai palsu dari bank negara itu kemudian nasihatkan mangsa pindahkan wang dalam akaun miliknya ke akaun sementara yang didakwa untuk tujuan semakan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).


Terpedaya dengan ‘nasihat’ pegawai itu, mangsa melakukan pemindahan wang  ke tiga nombor akaun bank berbeza yang diberi.


“Mangsa mulanya memindahkan wang berjumlah RM9,000 ke satu nombor akaun bank sebelum memindahkan wang masing-masing berjumlah RM14,000 dan RM10,000 ke dalam akaun yang didakwa milik pegawai AMLA.


“Selepas panggilan telefon tamat, mangsa yang terdetik membuat semakan dengan Bank Negara akhirnya menyedari menjadi mangsa penipuan sindiket,” katanya mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian.


Kes disiasat bawah Seksyen  420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]