Sabah, Sarawak nikmati lebih 50 peratus peruntukan

in Nasional by


PUTRAJAYA – Lebih separuh atau 52.50 peratus daripada RM3.689 bilion jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan yang diberikan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam Bajet 2018 akan dinikmati penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.


Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan anggaran peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak, masing-masing sebanyak RM927.635 juta (23.98 peratus) dan RM1.103 bilion (28.52 peratus), bakinya pula adalah untuk bajet pembangunan 11 negeri di Semenanjung.


“Jadi bermakna secara purata tidak sampai lima peratus bajet pembangunan diberikan kepada setiap negeri di Semenanjung, sekali gus menafikan dakwaaan pembangkang yang menyatakan bahawa kerajaan tidak memberi perhatian kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media khas Bajet 2018 di sini hari ini.


Jelasnya hampir RM500 juta daripada RM934 juta keseluruhan peruntukan untuk projek jalan luar bandar diberikan kepada Sabah dan Sarawak; dan kedua-dua negeri itu juga menerima RM620 juta peruntukan   bekalan elektrik luar bandar serta RM420 juta diperuntukkan untuk bekalan air luar bandar.


“Ada di antaranya adalah untuk projek sambung iaitu sebanyak 472 projek dan 178 adalah projek baharu,” katanya.


Ismail Sabri berkata KKLW akan menubuhkan jawatankuasa ‘task force’ yang akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KKLW bagi memantau setiap projek yang dilaksanakan kementerian itu.


“Jadi mungkin pada setiap dua hingga tiga bulan mereka akan mendapatkan maklum balas mengenai setiap projek yang dilaksanakan dan kita juga akan libatkan ketua kampung yang mana mereka akan memberikan laporan kepada kementerian mengenai status projek yang dilaksana di kawasan mereka,” katanya.


Beliau berkata tindakan itu akan memberikan mereka maklumat terkini dan mengesan lebih awal sekiranya terdapat masalah di setiap projek yang dijalankan.


“Kita akan dapat tahu lebih awal kalau ada projek yang nak sakit…kalau dulu-dulu projek sudah sakit baru kita tahu dan baru nak dihantar ke jawantankuasa ‘projek sakit’, kadang-kadang dah lewat sangat,” katanya.


Ismail Sabri berkata untuk Bajet 2018, KKLW adalah kementerian kedua tertinggi menerima bajet pembangunan selepas Jabatan Perdana Menteri iaitu berjumlah RM3.869 bilion sementara bajet untuk mengurus adalah sebanyak RM5.614 bilion.


Jumlah keseluruhan peruntukan untuk KKLW dalam Bajet 2018 adalah sebanyak RM9.483 bilion, meningkat sebanyak 6.66 peratus berbanding RM8.891 bilion pada peruntukan tahun ini.


“Ini menunjukkan bahawa kerajaan terus memberi tumpuan dan perhatian tinggi kepada 7.8 juta penduduk luar bandar atau 26.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia untuk menikmati kesejahteraan kehidupan dan pembangunan ekonomi yang berterusan di luar bandar,” katanya.-Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]