Urusan lulus kerakyatan budi bicara KDN

in Uncategorized by


BAGAN SERAI – Urusan meluluskan permohonan taraf kerakyatan negara ini adalah bidang kuasa sepenuhnya Kementerian Dalam Negeri(KDN), bukan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Pengarah JPN Perak, Zulazlan Abu Hassan berkata, pihaknya sememangnya menerima pelbagai rungutan orang ramai mengenai kelewatan proses permohonan taraf kerakyatan diproses JPN di negeri ini sejak kebelakangan ini.


Menurutnya, ramai pemohon salah faham dan menyalahkan JPN di atas kelewatan permohonan taraf kerakyatan mereka dan keluarga mereka yang sememangnya memakan masa sehingga tiga tahun.


“Orang ramai perlu menyedari JPN hanya membantu memproses permohonan mendapatkan taraf kerakyatan negara ini untuk dipanjangkan kepada KDN.


“Soal lambat atau cepat status kelulusan permohonan terletak di bawah bidang kuasa KDN memandangkan usaha memberi kerakyatan negara ini adalah pemberian istimewa pihak kerajaan yang perlu memberi pertimbangan sewajarnya.


“Justeru, pihak kerajaan melalui KDN berhak mengambil sebanyak masa diperlukan untuk mempertimbangkan permohonan taraf kerakyatan pemohon,” katanya kepada pemberita pada sidang media majlis perasmian Program Walkabout JPN kali ke-8, di sini semalam.


Program itu dirasmikan oleh Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan turut dihadiri Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Abu Bakar Md Ali.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]