5,000 penyokong JDT banjiri Dataran MBJB

in Sukan by


DATARAN Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Johor Bahru yang kebiasaannya sunyi, berubah wajah hari ini apabila dibanjiri kira-kira 5,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017 melalui skrin besar.


Tinjauan Bernama mendapati tiga skrin gergasi disediakan bagi membolehkan penyokong skuad Harimau Selatan menonton perlawanan berkenaan secara langsung bermula 9 malam ini.


Walaupun hujan lebat dan angin kencang, ia tidak menghalang penyokong JDT membanjiri kawasan tersebut sejak 6.30 petang tadi, bagi menyatakan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.


Bagi Baktiar Abdul Kadir, 45, beliau berharap pasukan JDT dapat membawa pulang piala keagungan bola sepak tempatan itu ke selatan tanah air, pada kali ini.


“Saya menjangkakan JDT akan menang 2-0, dan kalau kita tengok penyokong pasukan lain pun datang beri sokongan kepada JDT, jadi saya yakin JDT boleh muncul juara.


“Ini memang sudah menjadi rutin keluarga saya setiap kali JDT mara ke perlawanan akhir, kami akan datang menyaksikan perlawanan yang disiarkan secara langsung di dataran ini,” katanya.


Bagi pasangan suami isteri, Tumimgan Hashin, 50, dan Warsitah Kazto, 53, mereka berharap JDT mencatat kemenangan pada perlawanan malam ini.


“Kalau boleh, kita hendak JDT menang 3-1 sebab kita tengok pemain JDT bukan sembarangan, pemain seperti Safiq Rahim dan S. Kunalan, mereka ini memang tonggak kepada kemenangan JDT sebelum ini.


“Tetapi dalam bola sepak, macam-macam perkara yang tidak diduga boleh berlaku.  Peluang kedua-dua pasukan 50-50,” katanya.


Muhammad Zulfadhli Mohamad Nor, 24, pula berkata kemenangan malam ini bukan sahaja akan menamatkan kemarau kejuaraan Piala Malaysia bagi JDT, malah akan menjadikan pasukan berkenaan antara kelab yang digeruni dalam arena bola sepak tempatan.


“Saya berharap tuah akan memihak kepada JDT untuk membawa pulang Piala Malaysia selepas kali terakhir kita menjulang piala tersebut adalah pada 1991. Ini peluang terbaik bagi JDT untuk melengkapkan trofi kejuaraan dalam Liga Malaysia,” katanya. – Bernama


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]