Anggota, pegawai tentera layak perlu daftar undi segera

in Nasional by


MELAKA – Anggota dan pegawai angkatan tentera darat yang masih belum mendaftar sebagai pengundi perlu segera berbuat demikian agar dapat melunaskan tanggungjawab sebagai warganegara pada pilihan raya umum akan datang.


Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim berkata langkah itu penting kerana masa hadapan negara terletak pada tangan semua rakyat di negara ini tanpa mengira lapisan masyarakat dan sektor pekerjaan.


“Kita mempunyai kira-kira 80,000 anggota dan pegawai tentera dan hanya sebilangan kecil sahaja yang belum layak mendaftar sebagai pengundi kerana umur mereka yang menyertai angkatan tentera adalah seawal 18 tahun.


“Kita di pihak tentera darat pula sentiasa memastikan mereka yang layak berdaftar segera melakukannya dan tidak melepaskan peluang atau hak mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran Negeri Melaka 2017 sempena sambutan Hari Jadi Ke-79 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di sini, hari ini.


Beliau merupakan antara 474 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran pada istiadat berkenaan yang menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM), membawa gelaran Datuk Wira.


Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.


Zulkiple berkata kesemua anggota tentera dalam keadaan bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang bagi memastikan proses pemilihan kerajaan berjalan lancar dan dalam keadaan aman serta makmur. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]