Hajat keliling JB jika JDT muncul juara

in Edisi Johor by


PONTIAN – Menjadi kelaziman buat Pak Osman atau Mohd Nor Osman, 62, meraikan kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim ( JDT)  tidak kira dalam apa jua perlawanan dengan caranya yang tersendiri.


Pak Osman pernah mencuri tumpuan ramai sebelum ini apabila gambarnya memakai baju dan topi keledar merah jambu sama seperti warna motosikal unik dihiasi aksesori tanduk kerbau tular di media sosial.


Dia yang tinggal di Desa Seri Aman Pengkalan Raja Pekan Nanas, cukup teruja ketika ditanya mengenai perlawanan akhir Piala Malaysia di antara pasukan JDT dan Kedah di Stadium Shah Alam hari ini.


Menurutnya, sehelai baju menggunakan bendera negeri Johor akan dipakai setiap kali pasukan JDT melangkah ke pusingan akhir dan seterusnya menjuarai apa juga perlawanan bola sepak di dalam mahupun di luar negara.


“Ini cara saya, pakai baju bendera negeri Johor. Saya beli bendera negeri dan kemudian hantar ke tukang jahit untuk dijadikan baju dengan upah RM70 sepasang.


“Sudah dua tahun, saya mengenakan baju bendera bagi meraikan kejayaan pasukan JDT dalam apa juga liga bola sepak yang disertai,” katanya.


Menurut Pak Osman, dia berhajat untuk menunggang motosikal uniknya mengelilingi bandar Johor Bahru sekiranya JDT berjaya membawa pulang Piala Malaysia.


“Memang saya tak pernah menjejakkan kaki di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, kerana sakit lutut. Tetapi saya tidak pernah ketinggalan menyaksikan perlawanan JDT di televisyen.


“Jadi demi kemenangan JDT dalam Piala Malaysia kali ini, saya sanggup mengetepikan sakit lutut dengan berhajat mahu mengelilingi bandar Johor Bahru dengan motosikal merah jambu kesayangan saya itu,” katanya.


Tegas Pak Osman, dia sudah lali dengan sikap segelintir orang yang suka memperkecil-kecilkan tindakannya.


“Biarlah orang hendak ketawakan pun, yang penting saya buat sesuatu untuk tunjuk penghargaan kepada negeri Johor. Yang penting saya tidak kacau orang.


“Ini cara saya, yang penting kita gembira. Saya mampu buat sesuatu yang berbeza dan menarik,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]