Jangan politikkan isu pendidikan

in Nasional by


PENGKALAN HULU – Aspek pendidikan yang disentuh dalam pembentangan Bajet 2018, tidak harus dijadikan bahan politik.


Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, selama ini kerajaan telah membuktikan agihan bantuan pendidikan dilakukan dengan adil tanpa memandang latar belakang politik penerima.


“Asalkan mereka layak dan patut diberikan bantuan, kerajaan pasti akan salurkan. PTPTN contohnya, kita dah berikan bantuan pinjaman kepada lebih 2.5 juta pelajar tanpa kita lihat apa ideologi mereka.


“Itu dah cukup buktikan kita kerajaan yang adil, jadi adalah sesuatu yang tidak patut pembangkang membangkitkan isu pendidikan sebagai bahan politik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Jelajah Umno Bantu Rakyat 2.0 di Kampung Tasek, semalam.


Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan dalam sidang media AMK Perak, 24 Oktober lalu menganggap penangguhan pembayaran PTPTN sebagai tindakan zalim.


Shamsul Anuar berkata, lanjutan tambahan dari enam bulan kepada 12 bulan itu jelas, satu daripada langkah penyelesaian kerajaan bagi mengurangkan risiko Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) dan sekatan Imigresen dalam kalangan peminjam yang baru tamat pengajian.


Menurutnya, pembangkang sebelum ini menyifatkan PTPTN sebagai zalim apabila menyenaraihitamkan nama peminjam yang gagal membuat bayaran balik, namun apabila penyelesaian diberikan, tuduhan sama tetap dibuat.


“Jika beginilah keadaannya, nampak sangat mereka hanya berpolitik, saya sendiri tidak faham dengan apa yang ingin diperjuangkan mereka,” katanya.


Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah keputusan tepat mengambil kira pandangan dan suara wakil mahasiswa serta pihak berkepentingan lain.


“Sebelum ini pun kita mengemukakan pendekatan fleksibel, mereka yang belum mendapat kerja atau masih dibawah paras kemampuan boleh datang untuk rundingan dan penstrukturan semula.


“Bergantunglah pada jumlah pinjaman dan tahap umur peminjam, takkan lah pinjaman RM10,000 tempoh bayaran balik hingga 150 tahun, kelonggaran yang kita berikan itu juga perlulah bersandar pada logik akal,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]