Kerajaan perlu kaedah bantu selesai masalah ah long

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menjadikan Malaysia sebagai negara yang pertama tampil menyelesaikan masalah pemberi pinjaman wang haram (ah long).


Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, setakat ini, tidak ada negara dalam dunia ini yang mampu menyelesaikan masalah tersebut.


“Kita perlu wujudkan kaedah yang boleh membantu masyarakat atau pengguna yang terdesak untuk menggunakan duit.


“Masalah ahlong yang membawa kepada bankrap atau muflis ini sudah berada di tahap membimbangkan,” katanya menerusi Forum Pengguna ke-7 2017, di sini, hari ini.


Menurutnya lagi, sikap individu yang tidak serik membuat pinjaman terhadap ahlong menyebabkan masalah tersebut terus membelenggu masyarakat pada hari ini.


Ia juga menyebabkan perniagaan ahlong terusĀ  beroperasi dan berkembang.


“Ada yang pinjam bukan sahaja dari seorang ahlong, tapi hingga 10 ahlong. Ada yang pinjam hanya RM5,000, tetapi sebulan kemudian, hutangnya bertambah sehingga RM1 juta.


“Sikap sesetengah individu yang suka meminjam ahlong tak ubah seperti penyakit. Memang mudah nak pinjam daripada mereka, tapi mahu bayar semula agak susah,” katanya lagi.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]