Orang Asli jadi mata telinga

in Edisi by


KUANTAN –  Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mahu masyarakat Orang Asli menjadi pemberi maklumat mengenai kegiatan memindahkan kayu balak dan hasil hutan tanpa lesen.


Timbalan Pengarah, Samsu Anuar Nawi berkata, lokasi penempatan Orang Asli yang berhampiran dengan hutan memudahkan mereka mengesan kegiatan pembalakan haram pada waktu malam.


Menurutnya, kerjasama yang diberikan dapat memastikan kerugian disebabkan kehilangan hasil hutan dapat diatasi dengan lebih berkesan.


“Sebelum ini banyak kes hasil aduan daripada pihak mereka membolehkan Unit Penguatkuasa JPNP melakukan serbuan dan sekatan jalan raya hingga tertangkap individu tidak bertanggungjawab.


“Justeru, saya berharap masyarakat Orang Asli dapat terus memberi kerjasama dengan JPNP bukan sahaja bagi mengatasi kegiatan memindahkan hasil hutan tanpa lesen tetapi juga bagi mengawal penerokaan hutan tanpa kawalan,” katanya pada Kempen Kesedaran Alam Sekitar Mengenai Kepentingan Perhutanan Sosial Tasik Chini di Kampung Gumun Tasik Chini, Pekan, kelmarin.


Hadir sama Penolong Pengarah Kanan Bahagian Ladang Hutan dan Perlindungan Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Helmy Tariq Othman.


Samsu Anuar berkata, hutan yang dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab akan menjejaskan sumber pendapatan Orang Asli yang mencari rotan dan memburu akan terjejas selain sumber air.


Katanya, setiap tahun JPNP mengadakan program menanam pelbagai jenis pokok balak di Tasik Chini dalam usaha menambah taburan pokok terutama membabitkan kawasan bekas lesen pembalakan.


“Jabatan akan memastikan produk pelancongan Tasik Chini terus terpelihara terutama dengan program pembiakan dan penanaman pokok teratai yang menjadi tarikan utama pelancong ke situ,” katanya.


Sementara itu, Helmy Tariq berkata, Pahang menjadi negeri pertama di semenanjung dipilih untuk mengadakan program kepentingan perhutanan sosial di penempatan Orang Asli dikendalikan JPSM.


“Setakat ini terdapat empat negeri terpilih menyertai program terbabit iaitu Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Perlis.


“Antara tujuan program perhutanan sosial diadakan ialah untuk menambah sumber ekonomi selain membentuk kerjasama erat antara jabatan dan penduduk setempat serta menjaga sumber alam,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]