Remaja derita hidap kanser tisu

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Seorang bapa merayu bantuan orang ramai menghulurkan sumbangan bagi menampung keperluan kos perubatan anak perempuannya yang menghidap kanser tisu.


Zaidi Zulkapli, 45, berkata, penyakit anaknya, Nur Insyirah, 14, hanya dikesan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di belakang badannya, empat bulan lalu.


Menurut bapa tunggal itu, sebulan kemudian, keadaan anaknya bertambah serius hingga tidak mampu pergi ke sekolah dan dia sendiri terpaksa menguruskan kehidupan anaknya itu.


“Pada mulanya terdapat ketumbuhan di bahagian belakang badan Nur Insyirah pada Disember tahun lepas dan beberapa kali pembedahannya tertangguh.


“Namun selepas dia selamat membuang ketumbuhan itu pada Julai lepas, doktor mengesahkan anak saya menghidap kanser tisu tahap empat. Malah, keadaannya kini semakin serius apabila kanser tersebut melarat ke bahagian paru-paru serta hatinya,” katanya.


Zaidi berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu mengalami demam dan batuk berpanjangan menyebabkan dia sekali lagi dimasukkan ke Hospital Sungai Petani, Kedah untuk mendapatkan rawatan lanjut sejak 14 Oktober lepas.


“Bekas isteri saya, Nur Diana Abd Rahim Lee, 39, yang menetap di Pengerang, Kota Tinggi datang menjaga anak kami sejak sebulan lalu. Bekas isteri berniaga secara kecil-kecilan dengan pendapatan tidak menentu.


“Saya pula hanya bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan. Sejak anak saya jatuh sakit, saya sudah tidak dapat bekerja kerana berulang-alik ke hospital selain perlu menguruskan anak ketiga saya, Zakuan Haziq, 10, yang masih bersekolah.


“Anak sulung saya, Nur Su’aidah, 16, dijaga  bekas isteri,” katanya yang sebelum ini tinggal di Batu Pahat namun selepas berpisah dengan bekas isterinya sejak lapan tahun lalu dia kemudiannya berpindah ke kampungnya di Sik, Kedah.


Beliau bertambah bimbang apabila anaknya kini sudah tidak dapat bergerak seperti biasa dan hanya terbaring sahaja.


“Dia juga sudah pakai lampin pakai buang sahaja. Alhamdulillah selera makannya masih baik dan segala keinginannya saya akan usaha dan penuhinya.


“Doktor beritahu selepas keadaan anak makin sihat, dia akan dirujuk ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani rawatan kemoterapi.


“Saya harap anak dapat perhatian Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor untuk dibantu,” katanya.


Sesiapa yang mahu membantu keluarga ini boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank Zaidi 151061230896 atau hubungi talian 019-4630270.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]