Tugas didik, asuh anak amanah ibu bapa

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Teknologi yang semakin ke depan menjadikan subjek komputer dan gajet tidak perlu melalui pendidikan formal di sekolah.


Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Penduduk Pembangunan Keluarga dan Negara (LPPKN), Ahmad Fakhri Hamzah berkata, seawal usia dua tahun anak-anak sudah boleh menggunakan telefon pintar tanpa dibantu, iaitu kesan pendedahan dalam kalangan ibu bapa.


Menurutnya, menyedari kesan daripada penggunaan gajet yang berlebihan boleh mempengaruhi perkembangan pembesaran dan sosial anak-anak, membawa kepada kempen kesedaran kawalan giat dijalankan.


“Gajet ini perlu bijak digunakan dan dikawal jangan sampai mempengaruhi kehidupan seharian hingga membawa kepada ketagihan dalam kalangan anak muda.


“Ia secara tidak langsung menyumbang kepada masalah interaksi dan komunikasi, seterusnya mempengaruhi hasrat melahirkan generasi berwibawa dan ciri-ciri kepimpinan,” katanya ketika merasmikan pelancaran Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M) peringkat Selangor di SACC Mall, hari ini.


Katanya, ibu bapa perlu mengambil peluang melapangkan sedikit masa memberikan perhatian penuh kepada anak-anak sebagai langkah mendepani cabaran teknologi dan alam maya.


“Empat waktu yang boleh digunakan oleh ibu bapa bersama anak-anak iaitu pada waktu pagi, sewaktu menghantar anak ke sekolah, pada waktu petang dan malam atau sekurang-kurangnya pada waktu makan.


“Kurangkan kebergantungan gajet dalam mengasuh anak…Jangan jadikan gajet sebagai pengumpan untuk menenangkan anak sebaliknya guna kaedah komunikasi.


“Tugas mendidik anak adalah amanah buat ibu bapa bukan gajet sebagai ‘bibik’ mengasuh atau mengawal anak-anak,” katanya.


Katanya, program tersebut adalah pencetus keakraban kekeluargaan yang boleh dipraktikkan dan menjadi peranan semua pihak mengambil peranan dalam membentuk generasi akan datang.


Program mendapat sokongan dan kerjasama daripada PKNS serta Sinar Harian dalam menjayakan sambutan dengan pelbagai aktiviti yang bermula jam 2 petang.


 


 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]