Tunku Abdul Rahman seorang pemimpin berprinsip

in Nasional by


KUALA LUMPUR – “Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah seorang pemimpin yang berprinsip dan tegas dalam membangunkan Malaysia selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957,” kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.


Beliau berkata Tunku juga seorang negarawan yang budiman dan seorang pemimpin demokratik yang berwawasan dan mempunyai hala tuju yang jelas dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi berpelembagaan.


“Tunku sebagai seorang ahli politik yang berkelulusan undang-undang di England, telah berjaya menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia selepas mencapai kemerdekaan daripada British, malah Tunku sendiri pernah menyatakan bahawa beliau mahu menjadi perdana menteri paling gembira di dunia… maksud  Tunku ialah memastikan rakyat Malaysia hidup aman damai dan bahagia,” katanya.


Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dan bekas Menteri Kewangan berkata demikian semasa menyampaikan syarahan bertajuk ‘ Visi Tunku Abdul Rahman, Bapa Malaysia untuk Keamanan dan Kemakmuran Malaysia’ di Memorial Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini.


Program syarahan itu dianjurkan Majlis Perundingan Muhibbah Negeri Pulau Pinang (MPMPP) dengan kerjasama Arkib Negara Malaysia dan Think City. Turut hadir Pengerusi MPMPP Tan Sri Mohd Yussof Latiff dan Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz.


Tengku Razaleigh berkata gaya kepimpinan Tunku sentiasa mendahulukan rakyat, contohnya beliau tidak suka kepada peperangan dan menyelesaikan sesuatu isu di meja rundingan, antaranya ialah rundingan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng di Baling, Kedah pada 1955, sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.


“Walaupun rundingan antara Tunku dan Chin Peng itu gagal, Tunku berjaya memenangi hati rakyat seterusnya mendapat sokongan kuat daripada rakyat yang mendorongnya melakukan rundingan dengan pihak British untuk kemerdekaan Malaysia,” katanya.


Kejayaan Tunku dalam memimpin negara dan memastikan Malaysia berada dalam keadaan aman dan selamat turut dibuktikan apabila berjaya menewaskan gerakan ‘Ganyang Malaysia’ iaitu ancaman Konfrontasi yang digerakkan oleh Indonesia pada masa itu, katanya


Menurutnya, selepas Darurat diisytiharkan tamat pada 1960, Tunku telah menumpukan perhatiannya terhadap pembangunan ekonomi negara termasuk pembangunan di luar bandar dalam usahanya membanteras kemiskinan.


“Malaysia pada tahun 1960-an tergolong sebagai antara negara miskin dalam Dunia Ketiga, bagaimanapun kegigihan Tunku dalam menaikkan hasil penanaman getah dan perlombongan bijih dan lain-lain sumber asli negara telah menghasilkan kemakmuran ekonomi negara,” katanya.


Tengku Razaleigh berkata sebagai penghormatan dan penghargaan kepada Tunku Abdul Rahman, kerajaan wajar mengabadikan nama perdana menteri pertama itu dengan membentuk sebuah badan pemikir dalam melakukan kajian mengenai politik dan isu nasional.


Selain badan pemikir, universiti tempatan boleh menubuhkan sebuah institusi bernama Tunku Abdul Rahman School of Politics and International Studies, katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]