97 pelajar IPT terperangkap ketika berkhemah

in Uncategorized by


LENGGONG – Aktiviti perkhemahan dianjurkan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Kampung Sumpitan, Lenggong pagi tadi bertukar panik apabila 97 pesertanya terperangkap dalam banjir.


Kejadian sekitar jam 11.15 pagi itu disedari setelah tapak khemah dinaiki air akibat limpahan Sungai Temelong.


Tindakan pantas anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong diketuai Mohd Annuar Mohd Saff berjaya menyelamatkan 73 pelajar wanita dan 24 lelaki IPT terbabit.


Mohd Annuar berkata, panggilan diterima ketika mana anggota sedang menjalankan operasi menyelamat penduduk kampung.


“Kita sedang menyelamatkan 10 penduduk yang terperangkap dalam rumah, sebelum menerima panggilan kecemasan itu, anggota kemudiannya bergerak menyelamatkan pelajar terbabit yang dikesan terperangkap dalam kawasan kem perkhemahan.


“Anggota kemudian membawa semua pelajar tersebut berpindah dari tapak khemah ke tebing tinggi, sebaik air mulai surut, mereka dibawa ke bas yang berada di tepi masjid Kampung Sumpitan.


“Semua mangsa berada dalam keadaan selamat,” katanya.


Beliau berkata, operasi menyelamat di kawasan Lenggong dibahagi kepada tiga kumpulan mengawasi keadaan masing-masing di Kampung Sumpitan, Kampung Rambong Gelok dan Kampung Banggol Belimbing.


“Sebuah bot, sebuah utiliti dengan kekuatan lima anggota juga ditempatkan di pusat pemindahan bagi memantau keadaan semasa disitu,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]