Bayi 11 bulan perlu RM250,000

in Edisi by


JELI – Seorang bayi berusia 11 bulan, Muhammad Fakhri Hakim Mohd Fazil yang disahkan menghadapi masalah kegagalan hati berfungsi (Biliary Atresia) sejak lahir memerlukan sumbangan orang ramai bagi membolehkannya menjalani pembedahan  pemindahan hati di China dengan segera.


Ibunya, Noorinie Stofar, 30, berkata, sebanyak RM250, 000 diperlukan untuk tujuan tersebut bagaimanapun ia tidak mampu disediakan kerana jumlahnya terlalu besar buat mereka.


“Kos tersebut disahkan Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) ketika kali terakhir Hakim dirujuk ke sana 23 Oktober lalu.


“Terlalu mustahil untuk dapatkan jumlah tersebut dalam masa singkat,  memandangkan kami tidak ada sebarang tabungan, ayahnya hanya pemandu lori dengan pendapatan yang tidak menentu, ” katanya kepada Sinar Harian.


Noorinie berkata, Hakim yang juga anak bongsu daripada dua beradik itu perlu dirawat segera memandangkan tahap kesihatannya yang semakin merosot.


Menurutnya, dia dan suami, Mohd Fazil Othman, 33, buntu mengenangkan nasib Hakim dan sangat mengharapkan sumbangan serta bantuan orang ramai bagi membantu mengurangkan penderitaan ditanggung anaknya.


Mengulas lanjut, Noorinie berkata, kehidupan Hakim tidak seperti bayi- bayi lain seusianya malah sebahagian masanya dihabiskan dengan menangis dan merengek seolah- olah menggambarkan rasa tidak selesa yang sedang ditanggung.


“Sepanjang usianya 11 bulan, saya tak pernah tengok Hakim senyum apatah lagi ketawa seperti bayi lain seusianya, agah (usik) macam mana sekalipun dia takkan senyum.


“Jauh disudut hati saya, saya nak tengok Hakim senyum dan ketawa, dan sangat berharap saat manis dan membahagiakan kami sekeluarga itu akan tiba,” katanya sebak.


Noorinie yang juga surirumah berkata, Hakim pernah menjalani Prosedur Kasai ketika berusia 65 hari, bagaimanapun pembedahan itu tidak berjaya.


“Pembedahan dilakukan Februari lalu, dan doktor nak tengok perkembangannya dalam tempoh enam bulan. Ia tidak begitu membantu. Ogos doktor bagitahu kami yang Hakim perlu dirawat di China melalui proses pemindahan hati,” katanya.


Noorinie berkata, dia bersediakan mendermakan hatinya kepada Hakim dan telah menjalani pemeriksaan untuk memastikan ia sesuai dengan anaknya.


“Sebahagian proses berkaitan sudah dibuat, hati saya juga sesuai untuk Hakim. Kekangan kami kini hanya pada kos yang diperlukan untuk proses pemindahan hati nanti serta rawatan susulan selepas pembedahan berkenaan, ” katanya.


Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB Bank (7623 1303 89) atas nama Noorinie Stofar atau menghubungi Noorinie di talian 01110556409.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]