Henti jika jadi punca Lebuhraya Persekutuan banjir

in Edisi Selangor KL by


KUALA LUMPUR – Pemaju projek pembangunan berhampiran Lebuhraya Persekutuan akan berdepan arahan henti kerja sekiranya didapati menjadi punca banjir kilat di di lebuh raya itu pada Isnin lepas.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata arahan henti kerja itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan dan memastikan kejadian sama tidak berulang.


Beliau berkata siasatan awal mendapati projek pembangunan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Ekpress Fasa 3 (Duke 3) antara punca banjir berkenaan selain  kegagalan pihak konsesi Lebuhraya Persekutuan menyelenggara  longkang mengikut keperluan.


“Bagaimanapun, kita telahpun memberi nasihat kepada kedua-dua pihak tersebut supaya mengambil tindakan sewajarnya seperti menyelenggara sistem saliran termasuk menaik taraf longkang di sekitar kawasan pembinaan,”  katanya kepada pemberita pada Program Jom Bantu Rakyat Titiwangsa hari ini.


Lebih 4,000 masyarakat berbilang kaum dari kawasan Parlimen Titiwangsa hadir memeriahkan program yang berlangsung di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Cochrane Perkasa, di sini.


Program yang berkonsepkan mendekati masyarakat setempat itu bertujuan membantu rakyat mencari jalan penyelesaian berhubung isu yang berkait dengan agensi kerajaan.


Lebih 30 agensi kerajaan dan swasta terlibat pada program itu selain dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan futsal dan persembahan pentas. – Bernama


 


 


 


 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]